Ahad, 2 September 2018 | 8:44pm
LEBIH 38,000 babi dibunuh di seluruh China, lapor media semalam, ketika pengeluar utama daging haiwan berkenaan itu bergelut membendung penularan demam babi Afrika. - Foto AFP
LEBIH 38,000 babi dibunuh di seluruh China, lapor media semalam, ketika pengeluar utama daging haiwan berkenaan itu bergelut membendung penularan demam babi Afrika. - Foto AFP

China bunuh 38,000 babi bendung penularan penyakit

BEIJING: Lebih 38,000 babi dibunuh di seluruh China, lapor media semalam, ketika pengeluar utama daging haiwan berkenaan itu bergelut membendung penularan demam babi Afrika.

Penyakit itu ditemui di lima wilayah di China, kata agensi berita Xinhua, memetik statistik Kementerian Pertanian negara itu.

China melaporkan kes pertama penyakit itu Ogos lalu di wilayah Liaoning.

Sejak itu, ia merebak ke selatan dengan kes ditemui setakat ini sejauh 1,000 kilometer dari situ, menimbulkan kebimbangan ia dapat menjangkiti kandang babi di seluruh negara berkenaan.

Walaupun virus itu berterusan merebak, jurucakap kementerian berkata ia berada dalam kawalan, menurut Xinhua.

Minggu lalu, Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu memberi amaran penyakit itu boleh menular ke bahagian lain di Asia.

Demam babi Afrika tidak membahayakan manusia tetapi boleh menyebabkan demam berdarah pada babi dan babi hutan yang selalunya berakhir dengan kematian dalam masa beberapa hari.

Tiada antidot atau vaksin setakat ini, dan satu-satunya kaedah untuk menghalang penyakit berkenaan daripada merebak adalah membunuh ternakan yang dijangkiti. — AFP

Berita Harian X