Isnin, 3 September 2018 | 4:30pm
XI Jinping. - Foto Reuters

China ikrar labur RM247 bilion di benua Afrika

BEIJING: Presiden Xi Jinping hari ini berikrar untuk membuat pelaburan berjumlah AS$60 bilion (RM247 bilion) ke atas benua Afrika sebagai membiayai pembangunan terbaru walaupun pada masa sama, berdepan kritikan berhubung pelaksanaan projek dengan hutang besar di luar negara.

Xi memberitahu demikian sebelum permulaan sidan kemuncak China-Afrika selama dua hari di sini yang dijangka memberi tumpuan kepada inisiatif ‘One Belt One Road’ (OBOR) iaitu sebuah program infrastruktur perdagangan global.

Program itu bertujuan meningkatkan akses China kepada pasaran dan sumber negara asing selain memperkukuh pengaruhnya di peringkat antarabangsa.

Ia menyaksikan China memberi pinjaman berbilion dolar kepada negara di Asia dan Afrika bagi membina lebuh raya, landasan kereta api, pelabuhan dan projek infrastruktur lain.

“Pelaburan China di Afrika dilakukan tanpa terikat kepada sebarang faktor politik,” kata Xi dalam dialog dengan pemimpin Afrika dan wakil perniagaan benua itu sebelum Forum Kerjasama China-Afrika (FOCAC) bermula.

“China tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman Afrika dan tidak akan memberi perintah kepada Afrika.

“Kerjasama China dengan Afrika jelas bertujuan menghapuskan kekangan kepada pembangunan, mewujudkan sumber kepada kerjasama hanya kepada projek yang benar-benar berfaedah,” katanya.

Pada masa sama, Xi mengakui ada keperluan melihat sejauh mana projek itu memberi faedah komersial dengan memastikan risiko pembangunan rendah dan kerjasama bersifat mapan.

Beliau turut menekankan, OBOR bukan rancangan mewujudkan kelab eksklusif atau blok yang menentang pihak lain. Ia menyasarkan supaya kita lebih terbuka, menghasilkan perkongsian dan faedah bersama.

Presiden Rwanda, Paul Kagame, yang ketika ini pengerusi Kesatuan Afrika (AU), ketika menolak tanggapan negatif terhadap OBOR turut menyifatkan tuduhan bahawa projek itu adalah satu ‘perangkap hutang’, sebagai cubaan menjejaskan interaksi Afrika-China.

“Saya ada satu lagi pandangan iaitu mereka yang mengkritik China mengenai hutang adalah pihak yang kedekut dalam hal itu,” kata Kagame dalam wawancara dengan agensi berita Xinhua. - AFP

Berita Harian X