Khamis, 20 September 2018 | 6:48am
PENDUDUK Palestin mengusung jenazah remaja Palestin yang mati ditembak tentera Israel berhampiran Tebing Gaza. - Foto AFP

Remaja Palestin maut ditembak tentera Israel

GAZA: Seorang remaja Palestin terbunuh selepas tentera Israel melepaskan tembakan ke arah sekumpulan penunjuk perasaan di selatan Tebing Gaza, kata kementerian kesihatan Palestin.

Seorang jurucakap tentera Israel berkata pihaknya tidak menerima sebarang maklumat mengenai insiden itu.

Jurucakap kementerian kesihatan, Ashraf Al-Qidra berkata, Moamen Ibrahim Abu Eyada, 15 ditembak mati oleh tentera Israel di timur bandar Rafah berhampiran Tebing Gaza dan bersempadan dengan Mesir.

Sejak 30 Mac lalu, sempadan antara Gaza dan Israel menjadi lokasi demonstrasi penduduk Palestin setiap minggu dan baru-baru ini tunjuk perasaan berlangsung pada lewat malam termasuk semalam.

Menurut pegawai kesihatan, sekurang-kurangnya 182 penduduk Palestin terbunuh sejak tunjuk perasaan itu bermula beberapa bulan lalu.

Tentera Israel berkata pihaknya perlu mempertahankan sempadan itu daripada penunjuk perasaan yang merusuh dan cuba menceroboh pagar untuk masuk ke Israel.

Rundingan damai antara Israel dan Palestin terhenti sejak 2014. - Reuters

Berita Harian X