Khamis, 20 September 2018 | 8:23pm
GOBIND bergambar bersama wakil syarikat permainan digital Malaysia selepas merasmikan Pavilion Malaysia di pameran Tokyo Game Show di Tokyo, hari ini.
GOBIND (dua dari kanan) turut meninjau gerai pameran wakil Malaysia yang menyertai Tokyo Game Show yang berlangsung hingga Ahad ini di Tokyo.

Pelan Industri Permainan Elektronik dirangka

TOKYO: Kerajaan sedang merangka Pelan Induk Industri Permainan Elektronik bagi merangsang dan membangun sektor kandungan digital serta teknologi kreatif Malaysia.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, pelan yang akan menjadi kemuncak pembangunan industri, bakat dan ekosistem sektor berkenaan akan dimuktamadkan pada persidangan Level Up KL 2018, di Kuala Lumpur, bulan depan.

Beliau berkata hasil persidangan industri permainan tempatan itu akan menjadi satu pencapaian penting dalam sektor kandungan digital dan teknologi kreatif negara.

“Masa depan industri permainan sangat memberangsangkan dan kami sedang berusaha membina sebuah industri yang akan menjadi pemacu eksport dalam Ekonomi Digital, disokong individu yang berkemahiran tinggi dengan program akses pasaran kukuh.

"Kementerian melalui Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) memandang serius usaha ini dan meletakkannya bersama dalam pelan bersepadu di bawah arahan saya," katanya pada majlis perasmian Pavilion Malaysia sempena program Tokyo Game Show (TGS) 2018 di sini, hari ini.

Turut hadir, Duta Besar Malaysia ke Jepun, Datuk Ahmad Izlan Idris; Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Datuk Yasmin Mahmood dan Pengarah Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) Tokyo, Shah Nizam Ahmad.

Sebanyak 12 syarikat Malaysia menyertai pameran permainan tahunan terbesar di rantau ini, yang berlangsung hingga Ahad dan dijangka dikunjungi lebih 200,000 pengunjung dalam dan luar Jepun.

Tahun lalu, delegasi Malaysia menerusi MATRADE merekodkan potensi jualan sebanyak RM130 juta hasil tawaran menerusi lebih 300 mesyuarat dengan pelbagai syarikat permainan terkemuka Jepun.

Gobind berkata sektor industri permainan Malaysia menunjukkan peningkatan ketara, dengan eksport sebanyak RM684 juta pada 2017 dan pertumbuhan tahunan sebanyak 46 peratus.

Jelas beliau, menjadi aspirasi negara untuk membina kapasiti dan keupayaan permainan tempatan yang akan menghasilkan penciptaan harta intelek (IP) serta pembangunan bakat untuk projek tempatan dan antarabangsa.

Katanya, pada masa ini, studio permainan Malaysia mempamerkan keupayaan mereka dengan membangun dan menyumbang kepada seni dan reka bentuk untuk permainan terkemuka AAA seperti Final Fantasy, Street Fighter V dan Unchartered 4.

"Permainan dan perkhidmatan yang dihasilkan oleh studio dan industri tempatan kita sememangnya bertaraf dunia.

"Industri permainan ini menarik golongan paling berbakat dan membina syarikat inovatif yang menggabungkan bakat dan kemahiran tinggi dalam reka bentuk seni dan teknologi," katanya.

Terdapat lebih 372 studio permainan digital dan elektronik di Malaysia yang terbabit secara langsung dalam pelbagai peringkat pembangunan dan pengeluaran dengan menawarkan 11,150 peluang pekerjaan.

Berita Harian X