Selasa, 16 Oktober 2018 | 11:01pm
SENATOR Amerika Syarikat (AS), Lindsey Graham. - Foto Reuters

Putera Mahkota arah bunuh Khashoggi - Senator AS

WASHINGTON: Senator Amerika Syarikat (AS), Lindsey Graham yang juga seorang Republikan rapat dengan Presiden Donald Trump, hari ini, menuduh Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman mengarahkan pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi.

Beliau turut menyifatkan Putera Mohammed sebagai ‘pemusnah’ yang menjejaskan hubungan Arab Saudi dan AS.

Ramai ahli Kongres AS sudah lama tidak mempunyai hubungan baik dengan Arab Saudi, mereka mengkritik hebat negara itu, sejak kehilangan Khashoggi di konsulat Arab Saudi di Istanbul pada 2 Oktober lalu.

Graham menyalahkan Putera Mahkota itu secara terus yang dikenali dengan nama singkatan MbS.

“Tiada ada yang berlaku di Arab Saudi tanpa pengetahuan MbS. Saya antara yang paling kuat mempertahankan mereka dalam Senat AS. Beliau ‘pemusnah’.

“Beliau mengarahkan mangsa dibunuh di konsulat di Turki dan mahu saya tidak menghiraukannya. Saya rasa digunakan dan disalahgunakan. MbS toksik. Beliau tidak boleh menjadi pemimpin di pentas dunia,” katanya.

Arab Saudi menafikan bahawa beliau terbabit dalam kehilangan Khashoggi. Namun, minggu lalu, 22 senator bersetuju menggerakkan siasatan sama ada sekatan hak asasi manusia boleh dikenakan disebabkan kehilangan Khashoggi.

Graham berkata, beliau tidak tahu apa yang bakal dilakukan Trump berhubung insiden itu yang membabitkan hubungan rapat dan kompleks AS dan Arab Saudi.

“Saya tahu apa yang saya akan buat. Saya akan mengenakan sekatan terhadap Arab Saudi. Saya rasa terhina. Mereka hanya menghina kita.

“Mengapa kamu mencari masalah dengan saya, Presiden dan semua jasa Presiden sebelum ini? Orang ini patut pergi,” katanya. - Reuters

Berita Harian X