Sabtu, 20 Oktober 2018 | 7:35pm
OMER Celik. - Foto fail AFP

Turki tekad dedah kejadian sebenar

ISTANBUL: Kerajaan Turki berjanji untuk mendedahkan semua maklumat mengenai kematian Jamal Khashoggi, selepas Arab Saudi mengaku bahawa wartawan terkenal itu dibunuh ketika berada di konsulat negara itu di Istanbul.

“Istanbul akan mendedahkan semua yang berlaku. Tiada siapa perlu bimbang mengenainya,” kata jurucakap Parti Keadilan dan Pembangunan Turki (AKP), Omer Celik yang dipetik agensi berita Anadolu.

Celik berkata, adalah menjadi satu penghormatan kepada Turki untuk mendedahkan apa sebenarnya yang berlaku dalam kejadian itu.

“Kami bukan mahu menuding jari atau menuduh mana-mana pihak atau individu, tetapi kami tidak boleh menerima cubaan untuk melindunginya (kejadian itu),” katanya.

Sementara itu, Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan dalam perbincangan dengan Raja Arab Saudi, Raja Salman semalam, bersetuju untuk terus bekerjasama dalam siasatan insiden berkenaan.

Malah, Erdogan dan kepemimpinan tertinggi negara itu didapati mengamal sikap berhati-hati, selain sering merujuk kepada siasatan yang dijalankan oleh pihak pendakwaan, dan mengelak daripada membuat tuduhan terhadap Arab Saudi.

Dalam pada itu, kakitangan konsulat Arab Saudi di Turki dilaporkan sudah memberi keterangan kepada pihak pendakwaan sebagai sebahagian daripada siasatan.

Sementara itu, Emiriah Arab Bersatu (UAE) hari ini, menyambut baik kenyataan Arab Saudi berhubung kematian Jamal, yang dibunuh ketika berada di dalam konsulat negara itu di Istanbul.

“Emiriah Arab Bersatu mengalu-alukan keputusan dan arahan yang dikeluarkan oleh Raja Salman,” lapor agensi berita WAM merujuk kepada kejadian membabitkan Jamal.

Terdahulu, Riyadh mengumumkan penahanan 18 warga Arab Saudi dan pemecatan dua pembantu kanan Putera Mahkota, Putera Mohammed bin Salman, berikutan siasatan kes pembunuhan terbabit.

Di Copanhagen, Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte mahu siasatan lanjut segera dijalankan selepas Arab Saudi mengaku Jamal menemui ajal di dalam bangunan konsulatnya di Istanbul.

“Masih banyak perkara yang tidak diketahui. Apa sebenarnya yang berlaku? Bagaimana dia (Jamal) mati? Siapa yang bertanggungjawab?

“Saya jangka dan berharap semua fakta akan dapat diketahui secepat mungkin. Siasatan menyeluruh perlu dilakukan,” kata Rutte. - AFP/Reuters

Berita Harian X