Isnin, 22 Oktober 2018 | 7:22pm
RECEP Tayyip Erdogan - Foto EPA
RECEP Tayyip Erdogan - Foto EPA

Media Turki siar dakwaan kaitkan Putera Mohammed

ISTANBUL: Media prokerajaan Turki menyiarkan dakwaan baru hari ini mengaitkan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman, dengan kematian wartawan Jamal Khashoggi selepas Presiden Recep Tayyip Erdogan berikrar mendedahkan kebenaran mengenai kes itu.

Erdogan berkata pada hujung minggu lalu bahawa beliau akan memberikan butiran baru dalam ucapan mengenai kehilangan Khashoggi esok.

Khashoggi dibunuh hampir tiga minggu lalu selepas memasuki bangunan konsulat Arab Saudi di Istanbul.

Selepas lebih dua minggu berdiam diri, Arab Saudi kini mengaku Khashoggi dibunuh di dalam bangunan konsulat tetapi penjelasan Riyadh dilihat sekutunya sebagai bercanggah dan tidak memuaskan.

Kes berkenaan semakin menonjolkan Putera Mohammed yang mencetuskan pembaharuan di negara itu tetapi kini berhadapan dakwaan, yang dinafikan Riyadh, beliau mengarahkan pembunuhan kolumnis Washington Post itu.

Akhbar Yeni Safak melaporkan, pegawai keselamatan Arab Saudi, Maher Abdulaziz Mutreb, mendakwa ketua operasi menghubungi ketua pejabat Putera Mohammed, Bader al-Asaker, sebanyak empat kali selepas pembunuhan itu.

“Ia berkisar sekitar Putera Mahkota,” menurut salah satu tajuk akhbar itu.

Kolumnis akhbar Hurriyet, Abdulkadir Selvi, turut memantau rapi petunjuk apa yang difikirkan Erdogan, menyatakan apa yang dikatakan butiran baru dan berkata Putera Mohammed perlu bertanggungjawab. — AFP

Berita Harian X