Sabtu, 27 Oktober 2018 | 3:16pm
PENDUDUK berjalan di bangunan yang musnah dibedil tentera udara Israel di Semenanjung Gaza. - Foto AFP
PENDUDUK berjalan di bangunan yang musnah dibedil tentera udara Israel di Semenanjung Gaza. - Foto AFP

Israel serang 80 sasaran Hamas di Gaza

GAZA: Tentera Israel menyerang 80 sasaran Hamas di Semenanjung Gaza malam semalam selepas pejuang Palestin melancarkan 30 roket ke kawasan selatan negara Yahudi itu.

Berpuluh-puluh pesawat tentera Israel terbabit dalam serangan udara besar-besaran di Gaza, mensasarkan antara lain lokasi didakwa sebagai pembinaan senjata dan lima kawasan pejuang bersenjata termasuk sebuah bangunan yang dikatakan tempat anggota keselamatan Hamas.

Portal berita Haaretz melaporkan, pertahanan peluru berpandu 'Iron Dome' meminta 11 roket yang dilancarkan ke selatan negara Yahud itu, termasuk satu pada pagi tadi.

Loceng amaran serangan dibunyikan 11 kali oleh rejim Zionis di selatan negara Yahudi itu termasuk di bandar Sderot dan Majlis Rantau Eshkol dekat sempadan Gaza sebagai amaran kepada penduduk Yahudi supaya mengambil langkah keselamatan.

Pejuang Palestin melancarkan roket ke selatan Israel berikutan pembunuhan enam penduduk Arab oleh askar Israel ketika mereka melakukan bantahan di sempadan Gaza dan Tebing Barat.

Warga Palestin yang maut dibunuh askar Israel termasuk Muhammad Khaled 'Abd al-Nabi; Ahmed Said Abu Libdah; Aish Sha'ath; Naser Abu Thayem dan Mujahed Ziyad 'Akel, kesemuanya dalam lingkungan usia awal dan lewat 20-an.

Satu lagi pertubuhan pejuang Palestin, Jihad Islam, turut menyiarkan kenyataan bahawa ia juga melancarkan beberapa roket sebagai membalas pembunuhan warga Palestin di sempadan.

Tentera Israel melaporkan, dalam serangan udara itu, pesawatnya menyerang sebuah bangunan empat tingkat yang dipercayai ibu pejabat pasukan keselamatan Hamas di Gaza.

Mereka mendakwa telah memberi amaran kepada penghuni bangunan beberapa kali supaya keluar sebelum serangan bermula.

Ketua Turus Tentera Israel, Lt Jen Gadi Eisenkot dan pegawai kanan yang bermesyuarat memberi arahan kepada penduduk Yahudi di selatan supaya mengelak daripada berkumpul beramai-ramai.

Penduduk dinasihatkan tidak berhimpun lebih 100 orang di tempat terbuka atau 500 orang di tempat tertutup.

Seramai tujuh penduduk Yahudi dirawat kerana mengalami trauma selepas dikejutkan dengan serangan roket pejuang Hamas.

Seorang lelaki berusia 53 tahun dan seorang remaja lelaki berusia 14 tahun cedera ringan ketika lari untuk berlindung selepas loceng amaran dibunyikan.

Kementerian Kesihatan Palestin mendedahkan, 213 warga Gaza maut dibunuh askar Israel ketika melakukan bantahan di sempadan. - Agensi

Berita Harian X