Sabtu, 27 Oktober 2018 | 5:07pm
KELIHATAN letupan selepas dibedil tentera udara Israel di Gaza. - Foto Reuters
KELIHATAN letupan selepas dibedil tentera udara Israel di Gaza. - Foto Reuters

Tentera Israel tuduh Syria dan Iran bantu Palestin

BAITULMAQDIS: Tentera Israel hari ini mendakwa kerajaan Syria mengarahkan kumpulan pejuang Palestin melepaskan puluhan tembakan roket ke Israel dari Gaza dengan bantuan Iran.

Selain itu, tentera Zionis berikrar akan bertindak balas dengan sewajarnya.

“Roket yang dilancarkan terhadap Israel...kami tahu bahawa perintah, insentif diberikan Damsyik dengan pembabitan yang jelas oleh Pasukan Quds dari Tentera Revolusi Iran,” kata jurucakap tentera Leftenan Kolonel Jonathan Conricus.

Conricus memberitahu wartawan Israel tindak balas itu ‘tidak terhad secara geografi’.

Tentera berkata, setakat semalam sekurang-kurangnya 39 roket ditembak ke selatan Israel oleh kumpulan pejuang Islam yang mana 17 daripadanya dipintas sistem pertahanan udara Iron Dome manakala selebihnya mengenai kawasan lapang.

Susulan tindakan itu, pesawat Israel melancarkan serangan balas ke atas Gaza dengan mensasarkan 90 kawasan yang diperintah Hamas. - AFP

Berita Harian X