Isnin, 29 Oktober 2018 | 8:47pm
MENTERI Luar, Mevlut Cavusoglu. - Foto Reuters

Pendakwa raya Turki, Arab Saudi bincang kes Khashoggi

ISTANBUL: Perkongsian maklumat antara pendakwa raya Arab Saudi dan Turki terhadap siasatan pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi dianggap berguna, kata Menteri Luar Mevlut Cavusoglu hari ini, menambah kerja sama itu perlu diteruskan.

Beliau membuat kenyataan itu ketika sidang media bersama Menteri Luar Azerbaijan dan Georgia. Katanya, Arab Saudi mencadangkan pendakwa raya awamnya berkunjung ke Turki bagi membantu siasatan dan menggesa Riyadh merumuskan siasatan secepat mungkin.

Terdahulu, pertemuan antara pendakwa raya awam Riyadh, Saud Al Mojeb bersama ketua pendakwa raya Turki yang berlangsung kira-kira 75 minit, tamat hari ini, lapor agensi Anadolu.

Pendakwa raya Turki menyediakan permohonan ekstradisi kepada Arab Saudi ke atas 18 suspek yang ditahan Riyadh sebagai sebahagian siasatan. Suspek terbabit termasuk pasukan 15 anggota keselamatan dikatakan Turki terbang ke Istanbul beberapa jam sebelum pembunuhan Khashoggi.

Sementara itu, Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan berkata kelmarin, permohonan ekstradisi itu sudah disampaikan kepada Arab Saudi menerusi Kementerian Kehakimannya.

Namun Menteri Luar Arab Saudi, Adel al-Jubeir berkata, pihak yang terbabit di sebalik pembunuhan itu akan didakwa di negaranya. -Reuters

Berita Harian X