Isnin, 29 Oktober 2018 | 11:37pm
ANGGOTA forensik membuat pemeriksaan di kawasan serangan di Tunisia. - Foto AFP

Pengebom nekad cederakan 9 orang di Tunisia

TUNIS: Seorang pengebom nekad wanita meletupkan bom yang dipakai hari ini berdekatan kenderaan polis di tengah ibu kota Tunisia, menyebabkan sembilan cedera, kata Kementerian Dalam Negeri.

Jurucakap kementerian, Sofiene Zaag, berkata lapan daripada mangsa ialah anggota polis, selepas letupan kuat menggegarkan Avenue Habib Bourguiba di Tunis.

Ambulans tiba di lokasi, yang dikepung pasukan keselamatan.

Sejak kebangkitan rakyat pada 2011 yang menumbangkan pentadbiran diktator Zine El Abidine Ben Ali, serangan militan di Tunisia mengorbankan puluhan anggota pasukan keselamatan dan pelancong asing.

Pada Jun 2015, 38 maut dalam tembakan rambang di pusat peranginan Sousse yang mensasarkan pelancong, manakala serangan tahun sama di Muzium Negara Bardo di Tunis meragut 22 nyawa.

Serangan ganas menjejaskan sektor pelancongan Tunisia, yang menghasilkan tujuh peratus keluaran dalam negara kasar.

Negara itu dalam perintah darurat sejak November 2015, apabila pengeboman nekad didakwa Daesh dilancarkan mereka di Tunis membunuh 12 pengawal presiden. — AFP

Berita Harian X