Jumaat, 16 November 2018 | 10:23pm
Tiga anak harimau berusia 8 bulan maut dilanggar kereta api di barat India, kata renjer hutan hari ini. - Foto indianexpress.com
Tiga anak harimau berusia 8 bulan maut dilanggar kereta api di barat India, kata renjer hutan hari ini. - Foto indianexpress.com

Tiga anak harimau maut dilanggar kereta api

NEW DELHI : Tiga anak harimau berusia 8 bulan maut dilanggar kereta api di barat India, kata renjer hutan hari ini.

“Kesemua anak harimau itu dilanggar awal pagi semalam dan sisa bangkai haiwan berkenaan yang berserakan dikutip untuk bedah siasat,” kata pegawai Jabatan Perhutanan Maharashtra, A.K. Mishra hari ini.

Bangkai ketiga-tiga anak harimau itu ditemui di daerah Chandrapur yang terkenal dengan bilangan harimau dalam jumlah besar.

“Insiden seperti ini amat luar biasa dan kami masih belum berjaya mengesan ibu haiwan berkenaan tetapi bangkai itu akan ditanam pada kadar segera,” kata Mishra.

India sebelum ini melancarkan kempen untuk meningkatkan bilangan harimau di negara itu dan bilangan haiwan berkenaan pada 2014 meningkat kepada lebih 2,200 berbanding kurang 1,500 ekor sebelum ini.

Konflik antara manusia dan harimau bagaimanapun semakin meningkat susulan pembangunan kawasan bandar di negara dengan 1.25 bilion penduduk itu, malam pemburuan haram turut menjadi punca.

Ia berlanjutan kepada pembunuhan seekor harimau betina yang terpaksa ditembak mati selepas membaham 13 penduduk awal bulan ini, juga di Maharashtra.

Harimau betina berkenaan ditembak selepas usaha menjejak menggunakan peluncur udara, kamera infra merah, penembak tepat yang menunggang gajah dan pewangi dari jenama Calvin Klein. - AFP

Berita Harian X