Jumaat, 23 November 2018 | 8:31am
Gambar disediakan oleh Saudi Royal Palace memperlihatkan Putera Mahkota Saudi Mohammed bin Salman (kiri) diiringi Putera Mahkota Abu Dhabi dan Timbalan Panglima Tertinggi Angkatan Bersenjata UAE, Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan, ketika ketibaannya di Lapangan Terbang Abu Dhabi. - Foto AFP

Putera Mohammed mula lawatan serantau pertama

DUBAI: Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman memulakan lawatan serantau rasmi pertama semalam ke Emiriah Arab Bersatu (UAE), sejak terpalit dengan kes pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi.

Putera Mohammed akan melawat negara-negara yang akrab di tanah Arab atas permintaan bapanya, Raja Salman, kata pihak istana dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Agensi Berita Saudi.

Ketibaan Mohammed di hentian pertama UAE, disambut Putera Mahkota Abu Dhabi, Mohammed bin Zayed, sekutu rapat yang juga sebahagian daripada anggota tentera gabungan yang dipimpin Arab Saudi bagi memerangi pemberontak Houthi yang diketuai Iran di Yaman, menurut agensi berita UAE, WAM.

Kedua-dua pemimpin membincangkan perkembangan serantau dan antarabangsa serta cabaran dan ancaman yang dihadapi rantau Asia Barat, kata WAM tanpa mengulas lanjut.

Sumber presiden di Tunis berkata, Putera itu dijadual ke ibu kota Tunisia pada Selasa ini.

Lawatan serantau menjelang sidang kemuncak G20 yang bakal dihadiri Mohammed di Argentina minggu depan, dibuat ketika tekanan antarabangsa ke atas Riyadh memuncak berikutan pembunuhan kejam kolumnis Washington Post, Khashoggi di konsulat Saudi di Istanbul pada 2 Oktober lalu.

Sementara itu, jurucakap presiden Turki, Presiden Recep Tayyip Erdogan juga dijangka bertemu dengan Putera Mohammed di luar sidang kemuncak G20.

Ia bakal menjadi pertemuan pertama antara kedua-dua pemimpin berkenaan sejak dikaitkan dengan pembunuhan yang mencemarkan imej putera mahkota dan kerajaannya itu.

Erdogan sebelum ini berkata arahan untuk membunuh Khashoggi datang dari peringkat tertinggi kerajaan Arab Saudi tetapi tidak pernah secara langsung menuduh putera berkenaan. - AFP

Berita Harian X