Rabu, 5 Disember 2018 | 8:04pm
Chopra dan Jonas ketika majlis resepsi pasangan itu di New Delhi, semalam. -Foto Reuters
Chopra dan Jonas ketika majlis resepsi pasangan itu di New Delhi, semalam. -Foto Reuters

Modi hadir majlis resepsi Chopra, Jonas di New Delhi

NEW DELHI: Priyanka Chopra, bintang filem India dan penyanyi Amerika Syarikat (AS) Nick Jonas meraikan penyatuan mereka dalam majlis penuh meriah di ibu kota ini semalam, disertai kalangan selebriti tempatan, bintang Hollywood dan Perdana Menteri Narendra Modi.

Acara di sebuah hotel di sini selepas tiga hari upacara perkahwinan pasangan itu di istana bersejarah India terletak di atas bukit di bandar barat Jodhpur, yang termasuk perlawanan kriket dan lagu Bollywood.

Tetamu majlis semalam termasuk Modi yang bergambar bersebelahan Chopra, berpakaian sari berkilau manakala Jonas selesa mengenakan tuksedo biru hitam.

Modi turut dijemput memeriahkan majlis resepsi bintang terkenal Bollywood itu dan pasangannya di New Delhi. -Foto Instagram Narendra Modi
Modi turut dijemput memeriahkan majlis resepsi bintang terkenal Bollywood itu dan pasangannya di New Delhi. -Foto Instagram Narendra Modi

Chopra, 36, dan Jonas, 26, bertunang awal tahun ini selepas perkenalan singkat yang bermula dalam acara selepas parti anugerah Oscar tahun lalu.

Chopra, bekas ratu cantik Miss World, membintangi tiga musim siri ‘Quantico’ keluaran ABC, menjadi pelakon utama dalam drama televisyen AS. Beliau adalah antara bintang menerima bayaran tertinggi di India.

Nick bersama abangnya, Kevin dan Joe membentuk kumpulan pop-rock, The Jonas Brothers, pada 2005 dan menjadi terkenal sebagai bintang remaja Disney. Kumpulan itu berpecah pada 2013.

Pada majlis semalam, pasangan itu turut disertai keluarga mereka serta tunang abangnya, Joe, Sophie Turner yang membintangani siri HBO, ‘Game of Thrones.’ -Reuters

Berita Harian X