Jumaat, 7 Disember 2018 | 11:56am

Jepun larang guna produk keluaran Huawei, ZTE

TOKYO: Kerajaan Jepun bakal melarang penggunaan produk telekomunikasi buatan gergasi teknologi Huawei dari China dan ZTE, akibat kebimbangan mengenai masalah keselamatan siber.

Berikutan itu, akhbar Yomiuri Shimbun melaporkan, kerajaan dijangka menyemak semula proses perolehan dalaman menjelang Isnin ini, bagi mengecualikan produk keluaran Huawei dan ZTE.

Agensi Jiji Press turut melaporkan perkara yang sama dalam laporannya.

“Larangan berkuat kuasa selepas Amerika Syarikat memohon sekutunya supaya menghindari produk buatan kedua-dua syarikat itu berikutan kebimbangan ia mengandungi virus yang boleh digunakan untuk melancarkan serangan siber,” lapor Yomiuri Shimbun yang memetik sumber kerajaan yang tidak didedahkan.

Menurut akhbar berkenaan, produk tempatan yang menggunakan komponen atau peralatan keluaran kedua-dua firma dari China itu juga akan dikeluarkan dari perolehan kerajaan.

Yomiuri Shimbun melaporkan, Kerajaan Jepun tidak akan menyatakan nama syarikat terbabit, kerana enggan menimbulkan kemarahan China.

Ketika diminta mengulas mengenai laporan terbabit, jurucakap kanan kerajaan, Yoshihide Suga enggan memberikan sebarang komen, namun berkata, Jepun sentiasa bekerjasama rapat dengan Amerika Syarikat mengenai isu keselamatan siber.

Laporan itu timbul susulan penahanan eksekutif kanan Huawei yang mencetuskan kemarahan Kerajaan China, sekali gus menimbulkan kebimbangan global mengenai ancaman ketegangan antara Washington dan Beijing.

Penahanan ke atas Ketua Pegawai Kewangan Huawei, Meng Wanzhou itu dibuat selepas pihak berkuasa Amerika Syarikat dilapor menjalankan siasatan mengenai pelanggaran sekatan terhadap Iran oleh Huawei. - AFP

Berita Harian X