Isnin, 10 Disember 2018 | 4:46pm

3 syarikat Telco Jepun enggan guna peralatan Huawei, ZTE

TOKYO: Tiga syarikat telekomunikasi (Telco) Jepun tidak akan menggunakan peralatan rangkaian yang dikeluarkan oleh Huawei Technologies Co Ltd (Huawei) dan ZTE Corp (ZTE).

Akhbar Kyodo News hari ini melaporkan, rancangan itu terpakai bagi kemudahan peralatan semasa, selain pelaksanaan perkhidmatan generasi kelima (5G) akan datang.

Minggu lalu, sumber memberitahu Reuters mengenai rancangan Kerajaan Jepun untuk melarang pembelian peralatan keluaran Huawei dan ZTE bagi melindungi sistem pertahanan dan risikan negara itu, daripada masalah kebocoran serta serangan siber.

Namun, usaha menghubungi wakil ketiga-tiga Telco terbabit, iaitu NTT Docomo Inc, KDDI Corp dan SoftBank Group Corp untuk maklum balas berhubung laporan itu, tidak berjaya.

Ketika ini, Amerika Syarikat sudah menutup pasaran bagi semua produk keluaran Huawei, manakala Australia dan New Zealand menyekat peralatan syarikat itu daripada terbabit dalam pembangunan rangkaian 5G di negara mereka.

Ia susulan kebimbangan kaitan firma berkenaan dengan Kerajaan China, namun Huawei berulang kali menyangkal dakwaan bahawa Beijing mempunyai pengaruh ke atas syarikat itu.


TELCO Jepun tidak akan menggunakan peralatan rangkaian yang dikeluarkan oleh Huawei dan ZTE. - Foto fail

Sementara itu, di Beijing, Kementerian Luar China, berkata mereka tidak pernah menerima laporan mengenai mana-mana negara, yang mengalami masalah keselamatan susulan menggunakan produk keluaran Huawei.

Jurucakapnya, Lu Kang berkata demikian dalam satu taklimat media harian di Beijing.

Ketua Pegawai Kewangan Huawei, Meng Wanzhuo ketika ini berusaha untuk dibebaskan dari tahanan dengan ikat jamin, sementara menunggu proses ekstradisi.

Beliau ditahan di Vancouver, Kanada pada 1 Disember lalu atas permintaan Amerika Syarikat. - Reuters

Berita Harian X