Isnin, 7 Januari 2019 | 12:08am
Mahkamah Arab Saudi akan menghantar notis melalui SMS jika mereka diceraikan. - Foto AFP

Mahkamah Arab Saudi dibenar SMS notis cerai kepada wanita

RIYADH: Mahkamah Arab Saudi akan menghantar notis melalui sistem pesanan ringkas (SMS) jika mereka diceraikan, mengikut undang-undang baru yang berkuat kuasa hari ini.

Peraturan itu yang diluluskan kementerian kewangan bertujuan mengurangkan lambakan kes membabitkan lelaki yang mengakhiri perkahwinan mereka tanpa pengetahuan isteri masing-masing.

“Kaum wanita akan dimaklumkan mengenai sebarang perubahan pada status perkahwinan mereka menerusi SMS.

“Semua wanita di negara ini boleh melihat dokumen berkaitan perceraian di laman web kementerian,” kata kementerian berkenaan dalam satu kenyataan yang disiarkan saluran berita rasmi Al-Ekhbariya dan media tempatan.

Langkah terbabit adalah sebahagian daripada gerakan pemodenan Arab Saudi yang diterajui Putera Mahkota Mohammed Salman, bertujuan menghapuskan stigma konservatif pada negara berkenaan.

Mulai Jun tahun lalu, golongan wanita dibenarkan memandu buat pertama kali selepas larangan untuk aktiviti itu dihapuskan.

Kerajaan Arab Saudi turut membenarkan wanita negara itu memasuki stadium bagi menonton acara sukan selain menggalakkan lebih banyak penyertaan dari golongan terbabit dalam sektor pekerjaan.

Pada masa sama, pihak berkuasa negara pengeluar minyak terbesar itu turut menahan lebih ramai aktivis wanita sejak beberapa bulan lalu. - AFP

Berita Harian X