Selasa, 8 Januari 2019 | 9:53pm
Anggota keselamatan Palestin yang setia kepada Hamas berkawal di sempadan Rafah dengan Mesir. - Foto AFP

Mesir tutup sempadan dengan Palestin

GAZA CITY: Lintasan di sempadan Mesir ditutup untuk penduduk Palestin yang mahu meninggalkan Gaza hari ini, kata pegawai, ketika perbalahan antara parti di wilayah itu semakin memuncak.

Penduduk Gaza yang mahu kembali dari Mesir masih boleh melalui lintasan itu tetapi tiada siapa dibenarkan meninggalkan wilayah Palestin berkenaan, kata jurucakap Hamas yang bertanggungjawab terhadap lintasan sempadan.

“Buat masa ini, ia cuma untuk sehari, tidak dapat dipastikan jika ia akan dilanjutkan,” kata Wael Abu Omar.

Pihak Berkuasa Palestin (PA) mengumumkan Ahad lalu ia akan mengundurkan kakitangannya dari sempadan lintasan Rafah, satu-satunya jalan penduduk Gaza meninggalkan wilayah Palestin yang memintas Israel.

Ia menyalahkan campur tangan Hamas, yang mentadbir Gaza, susulan dakwaan penangkapan besar-besaran ke atas anggota parti Fatah pimpinan Presiden Mahmud Abbas di wilayah itu.

Hamas mengambil alih kawalan sepenuhnya di sempadan sejak itu.

PA mengawal semula lintasan sempadan pada lewat 2017 sebagai sebahagian perjanjian perpaduan antara Fatah dan Hamas. — AFP

Berita Harian X