Selasa, 29 Januari 2019 | 2:50pm
BANGKAI ikan yang terapung di Sungai Darling. - Foto AFP

Ratusan ribu ikan Sungai Darling mati akibat kemarau Australia

SYDNEY : Ratusan ribu ikan dilaporkan mati akibat kemarau di Australia sejak beberapa hari lalu dan pihak berkuasa hari ini memberi amaran, lebih banyak kematian dijangka berlaku.

Penduduk di sekitar Sungai Darling dikejutkan dengan lautan bangkai ikan di permukaan air berhampiran pekan Outback di tenggara Menindee.

Hanya seminggu selepas jutaan ikan ditemui mati akibat keadaan air yang cetek dan kadar oksigen semakin berkurangan, satu lagi kematian besar-besaran berlaku hari ini di rantau pengeluar utama makanan itu,

Inspektor Jabatan Perindustrian Utama New South Wales ketika melawat lokasi berkata, mereka menemui ratusan ribu bangkai ikan terapung di permukaan sungai.

“Kejadian di Sungai Darling ini sudah dijangka kerana sejumlah besar hidupan itu dikesan berada dalam keadaan tertekan,” kata jabatan terbabit dalam satu kenyataan.

Sungai Darling adalah sebahagian daripada sistem Sungai Murray-Darling sepanjang ratusan kilometer merentasi beberapa negeri.

Dengan suhu dijangka terus meningkat dan ketiadaan taburan hujan, risiko kematian ikan pada skala besar akan terus berlaku dalam masa terdekat, kata jabatan terbabit.

Menurut Inspektor, kematian terbaru itu berkemungkinan besar berlaku akibat kekurangan kadar oksigen dengan begitu kritikal selepas penurunan suhu secara mendadak. - AFP

Berita Harian X