Jumaat, 1 Februari 2019 | 6:48pm
Pihak berkuasa menyiasat lokasi kejadian pesawat Mirage 2000 terhempas di Bangalore. Foto AFP
Pihak berkuasa menyiasat lokasi kejadian pesawat Mirage 2000 terhempas di Bangalore. Foto AFP

Dua juruterbang tentera udara India maut

NEW DELHI: Dua juruterbang tentera udara India disahkan terbunuh, selepas pesawat buatan Perancis, Mirage 2000 terhempas beberapa minit selepas berlepas dari sebuah lapangan terbang di Bangalore.

Jet pejuang satu enjin keluaran Dassault Aviation itu dilaporkan sedang dalam ujian penerbangan selepas kerja menaik taraf oleh syarikat Hindustan Aeronautics Limited (HAL), India.

“Kedua-dua juruterbang maut akibat kecederaan parah yang dialami. Siasatan mengenai punca kejadian sudah dijalankan,” kata Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan.

Media tempatan pula melaporkan, juruterbang terbabit cuba melonjak keluar dari jet itu tetapi dihalang oleh api akibat kebakaran, sebelum pesawat terbabit meletup di lapangan terbang milik HAL di Bangalore.

Bagaimanapun, insiden itu tidak menyebabkan mereka yang berada di kawasan terbabit cedera.

India menandatangani perjanjian bernilai AS$2.4 bilion (RM9.8 bilion) dengan Perancis pada 2011, bagi menaik taraf 51 jet pejuang Mirage 2000, yang dibeli pada pertengahan 1980-an dengan sistem baharu elektronik peperangan dan radar. - AFP

Berita Harian X