Sabtu, 9 Februari 2019 | 6:58pm
Anggota keselamatan Tunisia menjaga keadaan susulan serangan di Muzium Nasional Bardo pada Mac 2015, mengakibatkan 21 pelancong asing dan seorang pengawal keselamatan Tunisia terbunuh. - Foto fail AFP
Anggota keselamatan Tunisia menjaga keadaan susulan serangan di Muzium Nasional Bardo pada Mac 2015, mengakibatkan 21 pelancong asing dan seorang pengawal keselamatan Tunisia terbunuh. - Foto fail AFP

7 militan dipenjara seumur hidup, bunuh pelancong di Tunisia

TUNIS: Sebuah mahkamah di Tunisia menjatuhi hukuman penjara seumur hidup ke atas tujuh anggota militan yang terbabit dalam serangan di sebuah muzium dan pantai peranginan pada 2015, membunuh 60 orang kebanyakannya pelancong British, kata pendakwa raya hari ini.

Berpuluh-puluh defendan berdepan dua perbicaraan berasingan membabitkan dua insiden tembakan rambang yang dipercayai berkaitan dan berlaku dalam masa sebulan di Tunis dan Sousse. Ramai dibebaskan selepas perbicaraan itu.

Empat daripada mereka dijatuhi hukuman penjara seumur hidup kerana melepaskan tembakan rambang di resort pelancongan Sousse pada Jun 2015, membunuh 38 orang kebanyakannya warga Britain.

Lima lagi defendan kes Sousse dijatuhi hukuman penjara enam bulan sehingga enam tahun, manakala 17 lagi dibebaskan, kata pendakwa raya, Sofiene Sliti.

Tiga lagi dijatuhi hukuman penjara seumur hidup susulan serangan terdahulu di Muzium Nasional Bardo pada Mac 2015, mengakibatkan 21 pelancong asing dan seorang pengawal keselamatan Tunisia terbunuh.

Mahkamah berkata kedua-dua serangan, yang didakwa dilakukan oleh kumpulan militan Daesh itu (IS), berkait rapat.

Sementara itu, beberapa defendan mendakwa kedua-dua serangan itu dirancang seorang lelaki dalam buruan, Chamseddine Sandi.

Menurut media Tunisia, Sandi terbunuh dalam satu serangan udara oleh Amerika Syarikat (AS) di Libya pada Februari 2016, namun ia belum disahkan. - AFP

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X