Ahad, 24 Februari 2019 | 9:04am
Puteri Rima Bandar. - Foto AFP

Arab Saudi lantik duta baru ke Washington

RIYADH : Arab Saudi melantik duta baru ke Amerika Syarikat (AS) serentak dengan hubungan antara kedua negara yang kini diuji susulan pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi.

Puteri Rima Bandar dilantik duta wanita pertama negara itu ke Washington, menggantikan Putera Khalid Salman yang dilantik sebagai timbalan menteri pertahanan.

Putera Khalid ialah adik kepada Putera Mahkota Mohammed Salman, pemimpin ‘de facto’ negara itu yang turut menyandang jawatan Menteri Pertahanan.

Rombakan itu berlaku susulan hubungan Arab Saudi bersama Washington yang tegang selepas pembunuhan Khashoggi pada Oktober lalu di konsulat Arab Saudi di Istanbul.

Selepas beberapa kali menafikan terbabit dalam pembunuhan itu, Arab Saudi akhirnya mengakui bahawa mangsa menemui ajal di dalam bangunan konsulat akibat satu operasi jenayah.

Penggubal undang-undang AS mengancam mengambil tindakan tegas ke atas Arab Saudi berikutan pembunuhan kejam Khashoggi dan dakwaan bahawa Putera Mahkota terbabit dalam kes berkenaan.

Kerajaan Arab Saudi sebelum ini menafikan sekeras-kerasnya pembabitan Putera Mohammed Salman dalam pembunuhan kolumnis akhbar Washington Post itu.

Pembunuhan Khashoggi mengalih tumpuan dunia terhadap pengeboman pasukan gabungan diketuai Arab Saudi ke atas Yaman, yang disifatkan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) sebagai krisis kemanusiaan terburuk dunia.

Awal bulan ini, Dewan AS bersetuju mengakhiri pembabitan AS dalam perang Arab Saudi ke atas negara jiran mereka Yaman, sekali gus mengkritik Presiden Donald Trump kerana secara terbuka menayangkan sokongan terhadap putera mahkota itu. - AFP

Berita Harian X