Isnin, 25 Februari 2019 | 11:38am
Pegawai Jabatan Ternakan Haiwan dan Perhutanan India memasukkan kelawar ke dalam bekas selepas menangkapnya di dalam telaga di Kerala 21 Mei tahun lalu. Virus Nipah adalah penyakit bawaan kelawar yang boleh dijangkiti menerusi haiwan atau individu dijangkiti serta penyebab kecacatan otak. -Foto AFP
Pegawai Jabatan Ternakan Haiwan dan Perhutanan India memasukkan kelawar ke dalam bekas selepas menangkapnya di dalam telaga di Kerala 21 Mei tahun lalu. Virus Nipah adalah penyakit bawaan kelawar yang boleh dijangkiti menerusi haiwan atau individu dijangkiti serta penyebab kecacatan otak. -Foto AFP

Saintis Jepun dapat dana hasilkan vaksin Nipah

LONDON: Satu pakatan global diwujudkan bagi memerangi epidemik mencapai perjanjian bernilai AS$31 juta (RM126.47 juta) dengan saintis di Universiti Tokyo bagi mempercepatkan penghasilan vaksin menentang virus Nipah penyebab kecacatan otak.

Pakatan Inovasi Persediaan Epidemik (CEPI) berkata, pasukan Universiti Tokyo akan menerima sehingga AS$31 juta untuk mempercepatkan pembangunan dan pengeluaran vaksin penyakit bawaan kelawar itu.

Virus Nipah kali pertama dikenal pasti pada 1999 ketika wabak itu menjangkiti petani babi dan individu lain yang bersentuh dengan haiwan itu di Malaysia dan Singapura. Lebih 100 babi mati dalam wabak itu dan kira-kira sejuta lain dibunuh untuk cuba menghentikan jangkitan.

Nipah dipindahkan kepada manusia menerusi hubungan langsung dengan kelawar dijangkiti, babi atau individu lain.

Sekurang-kurangnya 17 orang maut dalam wabak jangkitan virus itu di India tahun lalu di mana 19 kes dilaporkan, memberi kadar kematian kes itu sebanyak 90 peratus.

CEPI, yang ditubuhkan pada awal 2017, menyasar mempercepatkan pembangunan vaksin terhadap penyakit baharu dan tidak diketahui, secara kolektif dikenali sebagai Penyakit X.

“Ada keperluan mendesak untuk mempercepatkan penyelidikan dan pembangunan virus Nipah. Bukan hanya kadar kematian kes untuk penyakit ini tinggi, wujud risiko serius ia menjadi ancaman kepada keselamatan kesihatan global,” kata Ketua Eksekutif CEPI, Richard Hatchett dalam satu kenyataan.

Nipah berada dalam senarai ‘patogen keutamaan’ Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk penyelidikan dan pembangunan di samping Ebola, Zika, MERS serta demam berdarah Lassa dan Crimea-Congo.

Vaksin eksperimen pasukan Tokyo itu dihasilkan menggunakan vaksin virus campak lemah dengan gen virus Nipah dimasukkan ke dalamnya. -Reuters

Berita Harian X