Khamis, 28 Februari 2019 | 11:03am

AS, EU, China gesa India-Pakistan bertenang

WASHINGTON: Pentadbiran Rumah Putih mengecam konflik memuncak antara India dan Pakistan serta menggesa kedua-dua negara ‘mengambil langkah segera meredakan situasi itu.’

“Potensi risiko dikaitkan dengan tindakan ketenteraan lanjut oleh mana-mana pihak amat tinggi untuk kedua-dua negara, jiran mereka dan masyarakat antarabangsa,” kata seorang pegawai Majlis Keselamatan Negara Amerika Syarikat (AS).

Pentagon menambah lagi tekanan AS supaya kedua-dua pihak bertenang, mengeluarkan kenyataan yang mengatakan Pemangku Setiausaha Pertahanan AS, Patrick Shanahan memfokuskan ‘meredakan ketegangan dan menggesa India dan Pakistan mengelak tindakan ketenteraan lanjut.’

Duta Pakistan ke AS, Asad Majeed Khan berkata, Islamabad mahu melihat pentadbiran Trump memainkan peranan lebih aktif dalam meredakan krisis itu.

“Kami sudah pasti mahu melihat lebih banyak pembabitan aktif Amerika Syarikat,” katanya kepada media.

Pada masa sama, Asad berkata, kurangnya kecaman AS terhadap serangan India di Pakistan ‘ditafsir dan difahami sebagai menyokong kedudukan India dan itulah yang memberi mereka lebih kuasa.’

Perdana Menteri Pakistan Imran Khan menyeru rundingan dengan India dan berharap ‘kebenaran’ akan terserlah supaya kedua-dua pihak dapat bertenang.

“Sejarah memberitahu kita bahawa peperangan adalah penuh dengan silap percaturan. Soalan saya ialah, dengan senjata yang kami miliki, justeru kita tidak boleh tersilap percaturan. Kita perlu duduk dan berbincang,” kata Imran dalam ucapan di televisyen.

Akaun rasmi Twitter kerajaan Pakistan menyiarkan video seorang lelaki didakwa juruterbang India yang ditembak jatuh. Lelaki itu, dinamakan Pakistan sebagai Komander Sayap Abhi Nandan.

Satu kenyataan daripada Kementerian Luar India berkata, layanan terhadap juruterbang itu menunjukkan pelanggaran semua norma undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan Konvensyen Geneva, mengarahkan ‘pembebasan segera’ beliau. India bagaimanapun tidak menamakan juruterbang itu.

Penduduk India seolah-olah menyuapkan manisan ke mulut poster Modi ketika menyokong serangan ke atas garisan sempadan dengan Pakistan di Kashmir, Selasa lalu. Tentera udara India dilaporkan menggugurkan 1,000 kilogram bom ke atas kem didakwa milik pengganas merentasi sempadan berhampiran negara jiran. -Foto EPA
Penduduk India seolah-olah menyuapkan manisan ke mulut poster Modi ketika menyokong serangan ke atas garisan sempadan dengan Pakistan di Kashmir, Selasa lalu. Tentera udara India dilaporkan menggugurkan 1,000 kilogram bom ke atas kem didakwa milik pengganas merentasi sempadan berhampiran negara jiran. -Foto EPA

Dalam video kedua diedarkan di media sosial dikongsi akaun kerajaan sama menunjukkan juruterbang minum teh sambil memuji layanan tentera Pakistan.

Pemimpin Kongres India, Rahul Gandhi mengkritik ‘pempolitikan sewenang-wenangnya terhadap pengorbanan dibuat pasukan bersenjata,’ dalam kenyataan bersama 21 parti pembangkang.

Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo bercakap berasingan dengan menteri luar India dan Pakistan menggesa mereka ‘mengelak aktiviti lanjut tentera’ susulan serangan udara kelmarin.

China dan Kesatuan Eropah (EU) juga menggesa kedua-dua negara bertenang.

Pakistan pada mulanya berkata, dua juruterbang India ditahan sebelum menjelaskan hanya seorang.

Tentera udara India mengarahkan lapangan terbang utama Kashmir di Srinagar bersama sekurang-kurangnya tiga lagi di negeri berjiran ditutup, kata seorang pegawai. Pakistan menutup ruang udaranya dengan penerbangan komersial dalam negara dibatalkan.

Penerbangan dari Asia Barat dan India turut terjejas. Air Canada berkata semalam, ia menggantung sementara perkhidmatan ke India, susulan keputusan kerajaan Pakistan menutup ruang udaranya.

Dalam insiden berasingan, pegawai polis di Kashmir India berkata, empat penumpang dan seorang orang awam maut selepas sebuah helikopter tentera India Mi17 terhempas di wilayah itu.

Pihak berkuasa di sebelah Pakistan berkata, sekurang-kurangnya empat maut manakala tujuh terbunuh termasuk orang awam dengan ribuan dipindahkan dan sekolah di sempadan ditutup.

India juga terus memburu suspek militan di Kashmir dan semalam pasukan keselamatan membunuh dua militan JeM dalam pertempuran, kata polis.

Sementara itu, Perdana Menteri India Narendra Modi menjawab soalan rakan sejawatannya berkata: “Dengan senjata yang anda ada dan kami ada, adakah kita benar-benar melakukan silap percaturan?”

Modi mengadakan mesyuarat dengan ketua kanan tentera dan perkhidmatan risikan sepanjang semalam. New Delhi menutup sembilan lapangan terbang di utara negara itu selepas serangan Pakistan, namun membukanya kemudian.

Pembangkang India mengecam Modi kerana mempolitikkan serangan Pulwama, memintanya berucap di seluruh negara untuk memberi penjelasan.

Penganalisis politik berpusat di Kashmir, Dr Siddiq Wahid berkata: “Pendekatan ‘tanpa dialog’ oleh rejim Modi tidak berkesan dan malah menjadikan situasi masalah bertambah buruk. Ini adalah masa untuk berbincang.” - Reuters

Berita Harian X