Jumaat, 1 March 2019 | 10:05am
Peguam Negara Israel, semalam mengumumkan hasrat mendakwa Perdana Menteri Benjamin Netanyahu atas tuduhan rasuah. - Foto EPA
Peguam Negara Israel, semalam mengumumkan hasrat mendakwa Perdana Menteri Benjamin Netanyahu atas tuduhan rasuah. - Foto EPA

PM Israel bakal didakwa terima suapan, pecah amanah

BAITULMAQDIS: Peguam Negara Israel, semalam mengumumkan hasrat mendakwa Perdana Menteri Benjamin Netanyahu atas tuduhan rasuah, penipuan dan pecah amanah dalam keputusan yang dibuat beberapa minggu menjelang pilihan raya umum April ini.

Pengumuman yang dinantikan sekian lama itu dilihat akan menggoyahkan kempen politik dan mengancam kepemimpinan Netanyahu pada kemuncak politik Israel.

Peguam Negara Israel, Avichai Mandelblit, dalam kenyataan berkata beliau berhasrat mendakwa Netanyahu sementara menantikan sesi pendengaran, peluang kepada pemimpin itu untuk mempertahankan diri sebelum tuduhan difailkan.

Pengumuman dibuat menjelang pilihan raya 9 April ini yang menyaksikan Netanyahu berhadapan cabaran kuat daripada pakatan parti politik diketuai ketua turus staf tentera dihormati, Benny Gantz.

Netanyahu, yang menyangkal semua tuduhan, dijangka berucap pada jam 8.00 malam ini waktu tempatan dan parti Likud pimpinannya menyifatkan dakwaan itu sebagai ‘penganiayaan politik’.

“Siaran sehala pengumuman Peguam Negara cuma sebulan sebelum pilihan raya, tanpa memberikan peluang kepada Perdana Menteri menafikan semua tuduhan, adalah campur tangan jelas dan tidak pernah terjadi sebelum ini pada pilihan raya,” kata Likud dalam kenyataan.

Netanyahu menjadi Perdana Menteri selama 13 tahun dan berada atas landasan tepat menggantikan David Ben-Gurion sebagai Perdana Menteri paling lama berkhidmat jika menang pada April ini.

Beliau tidak perlu meletak jawatan jika didakwa, cuma jika disabitkan dengan semua rayuan ditolak.

Netanyahu menyifatkan siasatan itu sebagai usaha musuh politiknya untuk menumbangkan pentadbirannya. — AFP

Berita Harian X