Rabu, 13 March 2019 | 1:43am
SERANGAN udara dan tembakan meriam diteruskan.

2,000 militan Daesh serah diri

BAGHOUZ: Angkatan bersenjata yang diterajui Kurdis memaklumkan kira-kira 2,000 militan Daesh menyerah diri dari kawasan terakhir kumpulan pengganas itu di Syria, semalam, ketika serangan udara dan tembakan meriam diteruskan.

Difahamkan, hanya kelompok khemah rosak yang tinggal di kampung Baghouz, timur Syria daripada kerajaan ‘Kalifah’ meluas Daesh yang diisytiharkan di sebahagian besar Syria dan negara jiran Iraq, pada 2014.

Angkatan Demokratik Syria (SDF) yang disokong Amerika Syarikat (AS) sedang cuba menawan kubu kuat Daesh, sejak berminggu-minggu, namun jumlah ramai lelaki, wanita dan kanak-kanak yang keluar dari kampung seberang sungai itu menjejaskan kemaraan mereka.

SDF meneruskan serangan, Ahad lalu, dengan sokongan pakatan diterajui AS, selepas memberi amaran kepada saki baki militan Daesh bahawa masa menyerah diri sudah tamat.

Serangan udara dan tembakan berterusan disasarkan di Baghouz, tiga malam berturut-turut sehingga membunuh ramai pejuang dan memaksa ratusan militan dan ahli keluarga mereka menyerah diri.

Ribuan menyerah diri, semalam, selepas serangan ditumpukan ke tempat perkhemahan Daesh, pada malam sebelumnya.

“Kira-kira 2,000 orang kebanyakannya militan menyerah diri hari ini,” kata jurucakap SDF, Adnan Afrin tanpa memberikan maklumat mengenai berapa ramai baki pejuang dalam kawasan itu. - AFP

Berita Harian X