Rabu, 13 March 2019 | 10:45am
SERANGAN udara berterusan dan serangan darat bermula semula selepas tempoh tenang seketika di Syria. - Foto AFP

3,000 pengikut militan Daesh serah diri

BAGHOUZ, Syria: Kira-kira 3,000 anggota militan Daesh menyerah diri daripada tempat persembunyian terakhir kumpulan itu di Syria, kata tentera sekutu diketuai tentera Kurdish, ketika serangan udara berterusan dan serangan darat bermula semula selepas tempoh tenang seketika.

“Jumlah anggota militan Daesh yang menyerah diri sejak petang semalam meningkat kepada 3,000 orang,” kata jurucakap Angkatan Demokratik Syria (SDF), Mustefa Bali menerusi laman sosial Twitter.

Sebuah kawasan perkhemahan di wilayah timur Syria, di perkampuangan Baghouz adalah antara baki kumpulan Daesh ‘khalifah’ yang diisytiharkan pada 2014 di seluruh wilayah Syria dan jirannya, Iraq.

Tentera SDF yang disokong Amerika Syarikat (AS) berusaha untuk memusnahkan tempat persembunyian militan Daesh dalam tempoh beberapa minggu tetapi kemunculan beramai-ramai penduduk kampung di kawasan tebing sungai menyekat kemaraan mereka.

Pasukan tentera sekutu yang diketuai AS, memulakan serangan pada Ahad lalu selepas tempoh amaran diberikan kepada anggota Daesh berakhir.

Serangan udara dan darat bertubi-tubi melanda kawasan Baghouz selama tiga malam, mengorbankan beberapa anggota Daesh dan memaksa beratus-ratus daripada mereka serta keluarga menyerah diri.

Beribu-ribu daripada mereka menyerah diri pada Selasa, selepas beberapa siri serangan terkena kawasan perkhemahan Daesh. - AFP

Berita Harian X