Khamis, 14 March 2019 | 6:05pm
Aziza al-Yousef antara 10 aktivis wanita Arab Saudi dihadapkan ke mahkamah selepas ditahan selama setahun susulan tindakan keras kerajaan terhadap kumpulan aktivis yang memantau rekod hak asasi manusia negara itu. - Foto AFP

10 aktivis wanita Arab Saudi dibicarakan

RIYADH: Seramai 10 orang aktivis wanita Arab Saudi dihadapkan ke mahkamah kali pertama selepas ditahan selama setahun susulan tindakan keras kerajaan terhadap kumpulan aktivis yang memantau rekod hak asasi manusia negara itu.

Perbicaraan semua wanita terbabit diadakan selepas ditahan hampir setahun tanpa didakwa, dibuat selepas Arab Saudi cuba menenangkan kritikan antarabangsa susulan kes pembunuhan kejam membabitkan wartawan Jamal Khasoggi.

Pegawai mahkamah, Ibrahim al-Sayari berkata, aktivis terkenal Loujain al-Hathloul, Hatoon al-Fassi, Aziza al-Yousef dan Eman al-Nafjan adalah antara yang hadir di mahkamah jenayah Riyadh untuk mendengar pertuduhan terhadap mereka.

Ahli keluarga semua wanita terbabit yang mendakwa berdepan penderaan dan serangan seksual ketika ditahan, dibenarkan untuk hadir di mahkamah.

Bagaimanapun, kumpulan wartawan luar negara dan diplomat Barat yang turut berada di kawasan mahkamah tidak dibenarkan masuk ke bilik perbicaraan.

Dakwaan terhadap semua wanita terbabit tidak didedahkan kepada umum. - AFP

Berita Harian X