Sabtu, 16 March 2019 | 8:41am
ASAP letupan berdekatan kampung di Baghouz meragut enam nyawa penduduk. - Foto AFP

Enam maut diserang tiga pengebom nekad Daesh

BAGHOUZ (SYRIA): Kumpulan militan Daesh melancarkan tiga serangan bunuh diri di luar kubu terakhir mereka di timur Syria semalam, meragut enam nyawa penduduk yang cuba melarikan diri dari kawasan berkenaan.

Itu adalah kematian terbaru dalam perang saudara Syria yang memasuki tahun kesembilan semalam dengan jumlah keseluruhan kematian 370,000 nyawa.

Apa yang kini tinggal dalam kawasan kubu kuat Daesh pada 2014 itu hanyalah kem kesan peperangan di perkampungan Baghouz, berhampiran sempadan Iraq.

Tentera Kurdish dengan diketuai Pasukan Demokratik Syria (SDF) dan pesawat pejuang Amerika Syarikat menyerang kubu berkenaan sejak Ahad lalu, menyebabkan ribuan anggota Daesh menyerah diri.

Suasana agak tenang sejak kebelakangan ini, kecuali apabila tiga pengebom nekad itu meletupkan diri, kata jurucakap SDF, Jiaker Amer.

“Pengebom nekad berkenaan bersembunyi di kalangan penduduk yang melarikan diri dan meletupkan dirinya, membunuh sekurang-kurangnya enam daripada mereka,” katanya.

Dua lagi pengebom jelas beliau, meletupkan diri berhampiran pasukan SDF namun hanya mendatangkan kecederaan ringan pada anggota pasukan itu. - AFP

Berita Harian X