X
Sabtu, 16 March 2019 | 5:12pm
AKTIVIS berhaluan kanan Milo Yiannopoulos tidak dibenarkan memasuki Australia. - Foto ABC
AKTIVIS berhaluan kanan Milo Yiannopoulos tidak dibenarkan memasuki Australia. - Foto ABC

Australia tolak visa aktivis label Islam zalim, terasing

SYDNEY: Australia tidak mengeluarkan visa kepada aktivis berhaluan kanan, Milo Yiannopoulos, yang melabelkan Islam sebagai ‘kejam’ dan ‘terasing’ susulan keganasan di masjid di New Zealand, kata pegawai hari ini.

“Milo Yiannopoulos tidak akan dibenarkan memasuki Australia untuk tujuan melancong tahun ini.

“Kenyataan beliau di media sosial mengenai serangan pengganas di Christchurch amat keji dan membangkitkan kebencian dan perpecahan,” kata Menteri Imigresen, David Coleman, dalam satu kenyataan.

Media Australia melaporkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Scott Morrison sudah memutuskan pada Mac lalu untuk tidak mengeluarkan visa kepada Yiannopoulos, tetapi mengubah keputusan itu selepas bantahan daripada kalangan puak konservatif dalam Parti Liberal sendiri.

Kerajaan selalunya enggan memberi komen mengenai keputusan visa individu, tetapi membuat pengecualian hari ini susulan keganasan yang mengorbankan 49 umat Islam di New Zealand, dilakukan pelampau berhaluan kanan kelahiran Australia.

Langkah dibuat selepas Yiannopoulos menyiarkan komen di Facebook, menyatakan serangan seperti di New Zealand berlaku kerana kerajaan ‘memberi muka kepada budaya agama kejam dan terasing’.

Coleman membalas dengan berkata serangan pengganas di Christchurch dilancarkan ke atas umat Islam yang mengamalkan agama mereka dengan aman.

“Itu adalah tindakan amat jahat,” katanya. - AFP

Berita Harian X