Selasa, 19 March 2019 | 11:13am
Bunga, nota dan bendera Malaysia/New Zealand diletakkan di ruangan khas dekat Masjid Al Noor bagi mengenang mangsa serangan di Christchurch. - Foto Reuters
Bunga, nota dan bendera Malaysia/New Zealand diletakkan di ruangan khas dekat Masjid Al Noor bagi mengenang mangsa serangan di Christchurch. - Foto Reuters

Persiapan pengebumian pertama mangsa serangan masjid Christchurch lancar

WELLINGTON: Persiapan menjelang pengebumian mangsa serangan masjid Christchurch berjalan lancar hari ini, beberapa hari selepas dunia dikejutkan dengan pembunuhan kejam 50 orang yang ditembak seorang lelaki bersenjata.

Jenazah mangsa serangan Jumaat lalu dimandikan dan sedia untuk dikebumikan mengikut cara Islam, dengan sejumlah sukarelawan diterbangkan dari luar negara bagi membantu proses terbabit.

“Kami amat peka dan sensitif dengan keperluan setiap keluarga,” kata Pengarah Kementerian Awam, Pertahanan dan Pengurusan Kecemasan, Sarah Stuart-Black pada sidang akhbar di Christchurch.

Brenton Tarrant, 28, warga Australia yang obses dengan ketuanan bangsa kulit putih, yang menetap di Dunedin, Pulau Selatan New Zealand, didakwa membunuh Sabtu lalu.

Tarrant ditahan reman dan akan kembali ke mahkamah pada 5 April. Dia bakal berdepan lebih banyak pertuduhan, kata polis.

Mangsa yang terbunuh di dua masjid semasa solat Jumaat oleh seorang lelaki menggunakan senapang separuh automatik, kebanyakannya pendatang Muslim, pelarian dan penduduk dari negara termasuk Pakistan, Bangladesh, India, Turki, Kuwait, Somalia dan lain-lain.

Imigresen New Zealand berkata setakat ini 65 visa diluluskan untuk ahli keluarga menghadiri pengebumian itu. - Reuters

Berita Harian X