Sabtu, 23 March 2019 | 1:17pm
KEADAAN bangunan yang musnah susulan letupan loji kimia di Tmaan Perindustrian Chenjiagan di Yancheng. - Foto Reuters

Terkini - 64 maut, lebih 600 cedera loji kimia China meletup

BEIJING: Angka korban susulan letupan loji kimia di Taman Perindustrian Chenjiagang di Yancheng, wilayah Jiangsu China meningkat 64 orang hari ini, manakala lebih 600 lagi cedera dalam kemalangan industri terburuk pernah dicatat negara ini.

Penyelamat juga berjaya menemui seorang mangsa berusia 40-an yang terselamat berbanding berpuluh lagi yang masih hilang dalam sisa runtuhan akibat insiden terbabit.

Beliau sudah dihantar ke hospital untuk rawatan, menurut kenyataan media sosial rasmi, Weibo tanpa mengulas lanjut status mangsa dan kecederaannya.

Penyelamat sedang mencari 28 lagi pekerja yang masih hilang, lapor penyiar rasmi kerajaan, CCTV memetik Datuk Bandar Yancheng, Cao Lubao.

“Identiti korban dan mangsa yang masih hilang disahkan melalui temubual dengan waris, lawatan ke kediaman mangsa dan ujian DNA,” kata Cao kepada CCTV.

Letupan itu meranapkan beberapa bangunan di taman perindustrian terbabit dan mengakibatkan kebakaran sehingga lewat malam.

Kemudahan yang terbabit dalam letupan itu adalah milik Tianjiayi Chemical, sebuah firma dengan 195 pekerja yang ditubuhkan pada 2007.

Ia banyak menghasilkan bahan kimia mentah termasuk anisole, sejenis sebatian yang sangat mudah terbakar.

Menurut rekod dalam talian, biro persekitaran dan ekologi bandar Yancheng, Tianjiayi Chemical pernah melanggar peraturan alam sekitar.

Pada 2015 dan 2017, firma itu didenda kerana melanggar peraturan pengurusan sisa pepejal dan air. - AFP

Berita Harian X