Isnin, 8 April 2019 | 10:35am
FOTO hiasan.

Australia lancar kempen tingkat kesedaran wabak campak

SYDNEY: Australia hari ini melancarkan kempen pendidikan besar-besaran bagi menggalakkan rakyat negara itu khususnya yang sering melakukan perjalanan ke luar negara untuk mendapatkan suntikan vaksin supaya dapat mencegah penyebaran wabak campak.

Campak, virus jangkitan udara serta boleh menyebabkan demam, batuk dan ruam, kadang kala boleh membawa maut dalam kes tertentu sudah diisytiharkan pupus secara rasmi dari Australia oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 2014.

Ia bagaimanapun kembali muncul di negara membangun seperti Australia berikutan pertambahan jumlah golongan anti vaksin.

Pengumuman oleh Menteri Kesihatan Australia, Greg Hunt dibuat selepas negeri paling padat penduduk, New South Wales mencatatkan bilangan kes campak secara mendadak, termasuk dua penduduk yang dilaporkan baru pulang dari bercuti di Filipina.

Menurut Hunt, Australia mencatatkan 83 kes demam campak setakat ini, berbanding 103 tahun lalu dan 81 tahun sebelumnya.

“Saya khuatir dengan peningkatan kes campak di Australia dan mahu memastikan komuniti kita terpelihara sepenuhnya dari penyakit serius ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau memberi amaran, perubahan jadual vaksin untuk rakyat Australia antara tahun 1966 dan 1994 menyebabkan ada penduduk yang hanya menerima satu dos suntikan vaksin berbanding dua sekali gus menjadikan mereka lebih mudah dijangkiti.

Hunt berkata, bahan promosi termasuk video sedang dibangunkan Akademi Sains Australia bagi meningkatkan kesedaran berhubung kepentingan mendapatkan dos penuh vaksin penyakit itu. - AFP

Berita Harian X