Rabu, 24 April 2019 | 7:02am

Gempa bumi gegar timur laut India, Tibet

NEW DELHI: Gempa bumi berukuran magnitud 5.9 menggegarkan negeri timur laut India di Arunachal Pradesh awal hari ini dan gegaran turut dirasai di negara jiran Tibet.

Pusat Tinjauan Geologi Amerika Syarikat (USGS) berkata, pusat gempa itu berada pada kedalaman 40 kilometer di tenggara Along dan sejauh 180 kilometer dari ibu kota negeri barat daya Itanagar.

Gempa berlaku jam 1.45 pagi waktu tempatan. USGS menurunkan kekuatan gempa daripada magnitud 6.1 yang dilaporkan sebelum ini.

Arunachal Pradesh yang mempunyai 1.2 juta penduduk adalah negeri paling kurang penduduk di India, menurut laman web kerajaan negeri.

Tiada laporan kematian atau kerosakan di Tibet dengan pihak berkuasa seismologi China berkata, tiada perkampungan dalam jarak 20 kilometer dari kawasan gempa atau bandar dalam lingkungan 50 kilometer.

India dan China selama berdekad mempunyai kawalan bertelingkah di Arunachal Pradesh, pertelingkahan yang kini belum nampak tanda penyelesaian.

India menganggap Arunachal Pradesh satu daripada negeri di timur lautnya sementara China menuntut kira-kira 90,000 kilometer persegi wilayah itu. Arunachal Pradesh juga bersempadan dengan Myanmar dan Bhutan.

USGS menganggarkan ‘kemungkinan rendah’ kematian dan kerosakan akibat gempa terbabit. -AFP

Berita Harian X