Khamis, 25 April 2019 | 1:04pm
William meletakkan kalungan bunga ketika upacara Anzac Day di Muzim Peringatan Perang Auckland, hari ini. -Foto Reuters

William hadir sambutan Anzac Day di NZ

WELLINGTON: Putera William dari Britain memberi penghormatan kepada tentera Australia dan New Zealand hari ini dalam satu upacara penuh emosi Anzac Day, enam minggu selepas insiden pembunuhan beramai-ramai dua masjid Christchurch.

William berada di New Zealand untuk bertemu mangsa terselamat insiden tembakan 15 Mac lalu di mana 50 orang terbunuh, meletakkan kalungan bunga dalam upacara tahunan memperingati anggota tentera yang berkhidmat di dua negara berkenaan.

Perdana Menteri Jacinda Ardern dalam ucapannya berkata, pembunuhan 15 Mac lalu menunjukkan ‘masih banyak perpecahan perlu ditangani’ di dunia dan menggesa komitmen semula ‘terhadap prinsip kebebasan, demokrasi dan keamanan yang diperjuangkan negara.’

Minggu lalu, New Zealand merendahkan tahap ancaman pengganas dari tinggi ke sederhana, bermaksud satu lagi serangan ‘ada kemungkinan’ berbanding ‘sangat mungkin.’

Namun jumlah anggota Anzac di New Zealand dikurangkan bagi mengelak pasukan keselamatan berlebihan.

Anzac Day menandakan pendaratan tentera Australia dan New Zealand pada 25 April 1915 di Gallipoli, semenanjung Turki dalam kempen Perang Dunia Pertama menentang tentera Uthmaniyah disokong Jerman.

Lebih 10,000 anggota tentera Australia dan New Zealand maut dalam kempen itu dan ketika gagal dalam objektif ketenteraan, ia sebaliknya menaikkan semangat keberanian dan hubungan rapat antara dua negara.

William duduk bersebelahan Arden ketika upacara meletakkan kalungan bunga di Muzim Peringatan Perang Auckland sementara ratusan pegawai polis bersenjata berkawal dengan penembak hendap dapat dilihat pada bumbung bangunan.


William dan Ardern hadir dalam upacara peringatan Anzac Day di Muzim Peringatan Perang Auckland hari ini. -Foto AFP

Ribuan rakyat Australia dan New Zealand berkunjung ke Gallipoli setiap tahun untuk menghadiri majlis peringatan awal pagi di Anzac Cove, di mana tentera mendarat.

Upacara sama diadakan di Australia di mana Perdana Menteri Scott Morrison enggan menggembar-gemburkan terhadap laporan komplot menyasar upacara Gallipoli susulan penahanan seorang rakyat Turki, disyaki anggota Daesh.

Di New Zealand, pemimpin persatuan belia Muslim, Azeem Zafarullah berkata, adalah penting komuniti Islam mengambil bahagian dalam upacara Anzac Day susulan insiden tembakan Christchurch.

“Adalah penting menunjukkan kepada masyarakat awam kami berada di sini untuk mewakili negara kami, kami adalah rakyat setia,” katanya.

Azeem berkata, masyarakat Islam menerima banyak sokongan susulan insiden tembakan masjid bulan lalu. -AFP

Berita Harian X