Rabu, 1 Mei 2019 | 11:23am
MAHARAJA Jepun, Naruhito menaiki Takhta Kerajaan Bunga Kekwa hari ini. - Foto Reuters

Naruhito naik takhta, kerajaan 'Reiwa' bermula

TOKYO: Maharaja baharu Jepun, Naruhito menaiki Takhta Kerajaan Bunga Kekwa hari ini sehari selepas bapanya turun takhta dari kerajaan monarki tertua, menandakan bermula era empayar baharu.

Naruhito secara rasmi menaiki takhta tengah malam semalam tetapi ia hanya dirasmikan dengan acara keagamaan selama 10 minit, jeda waktu tanpa kehadiran kerabat diraja wanita, termasuk Masako.

Upacara itu diadakan pada hari pertama era kerajaan baharu ‘Reiwa’ yang bermaksud ‘keharmonian yang indah’ berkekalan sepanjang pemerintahan Naruhito.

Maharaja berusia 59 tahun itu bakal dipersembahkan dengan khazanah pedang suci dan permata, lambang kebesaran negara dan lambang diraja, pada upacara pelantikan yang diadakan di bilik Pine, Istana Diraja pada jam 10.30 pagi waktu tempatan.

Hanya seorang anggota kabinet wanita Shinzo Abe menghadiri upacara pertabalan itu. Kemudian disertai Masako dan kerabat diraja yang lain, Naruhito bakal menyampaikan ucapan kali pertama sebagai maharaja ke 126.

Baginda juga bakal muncul di khalayak pada Sabtu ini untuk berjumpa dengan rakyat Jepun.

Bagaimanapun upacara keraian bakal diadakan pada 22 Oktober tahun ini. Ketika upacara itu, maharaja dan maharani bakal mengenakan pakaian tradisional untuk upacara yang bakal diadakan di istana sebelum perarakan sepanjang jalan di ibu negara untuk menerima ucapan tahniah daripada seluruh pemimpin dan kerabat diraja dunia.

Naruhito bakal mengadakan pertemuan dengan pemimpin negara luar pada penghujung Mei ini. Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mendahului senarai untuk menghadap maharaja monarki baharu itu. - AFP

Berita Harian X