Ahad, 5 Mei 2019 | 8:23am
PEJUANG Gaza membedil 250 roket ke arah Israel. - Foto AFP
PEJUANG Gaza membedil 250 roket ke arah Israel. - Foto AFP

Pejuang Gaza bedil 250 roket, 4 terkorban diserang Israel

GAZA CITY: Pejuang Gaza membedil 250 roket ke arah Israel, yang membalas dengan serangan ketika gencatan senjata gagal sekali lagi dalam pertempuran yang mengorbankan empat penduduk Palestin termasuk seorang bayi, dalam laporan yang disanggah rejim Zionis.

Ketegangan terbaru bermula dengan Hamas, yang mentadbir Gaza, mahukan konsesi lebih baik daripada Israel menurut perjanjian gencatan senjata.

Israel berkata, kira-kira 250 roket dibedil dari wilayah Palestin itu dan pertahanan udaranya memintas puluhan daripadanya.

Tentera Israel berkata, kereta kebal dan pesawatnya menyerang 120 kedudukan pejuang.

Ia termasuk terowong serangan Jihad Islam yang memanjang dari selatan Gaza ke wilayah Israel, kata jurucakap tentera, Jonathan Conricus.

Dua bangunan dua tingkat di Gaza musnah, kata penduduk. Israel berkata, satu daripadanya menempatkan pejabat perisikan dan keselamatan Hamas.

Kementerian Kesihatan Gaza melaporkan kematian bayi berusia 14 bulan dan ibunya yang hamil selain dua lagi penduduk Palestin dalam serangan udara, manakala 40 lagi cedera. - AFP

Berita Harian X