Rabu, 22 Mei 2019 | 11:35am
Foto Hiasan

Dron keluaran China mampu curi data - CNN

BEIJING: Washington mengeluarkan amaran, dron keluaran China mampu membantu agensi perisikan di Beijing mendapatkan ‘akses tidak terkawal’ untuk mencuri data, menurut laporan media Amerika Syarikat.

Cable News Network (CNN) melaporkan, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) mengeluarkan amaran bahawa dron buatan China ‘berisiko kepada maklumat organisasi’.

Laporan CNN yang memetik kenyataan DHS sebagai berkata, kerajaan Amerika Syarikat sangat bimbang terhadap apa juga bentuk produk teknologi keluaran China yang mengambil data untuk dibawa masuk ke negara terbabit.

Kebimbangan itu timbul susulan kebenaran yang diberikan kepada perkhidmatan perisikan untuk mengakses data terbabit tanpa had dan akses yang diberikan mungkin disalahgunakan.

Amaran itu dikeluarkan ketika sektor teknologi China sedang menjadi perhatian ketika perang perdagangan antara China dan Amerika semakin meruncing.

Washington juga bertindak dengan melarang beberapa syarikat Amerika menjual atau memindahkan teknologi kepada Huawei walaupun Jabatan Perdagangan Amerika Syarikat sudah memberikan tempoh 90 hari.

Perisikan Amerika Syarikat yakin, Huawei mendapat sokongan tentera China dan produknya dipercayai mampu memberikan agensi perisikan negara itu akses pintu belakang untuk memasuki rangkaian komunikasi negara lain.

Pada masa sama, Washington juga menggesa sekutu terdekatnya agar menolak teknologi Huawei.

Laporan DHS tidak menyenaraikan mana-mana pengeluar dron China tetapi syarikat pengeluar dron terkemuka China, DJI yang berpusat di selatan China menghasilkan kira-kira 70 peratus daripada dron komersial dunia.

Pentagon juga sudah mengeluarkan larangan penggunaan dron DJI atas alasan keselamatan pada 2017. - AFP

Berita Harian X