Sabtu, 15 Jun 2019 | 11:08am
Penunjuk perasaan memegang sepanduk ketika perhimpunan bantahan cadangan rang undang-undang ekstradisi kontroversi di luar bangunan Parlimen Hong Kong, semalam. -Foto Reuters

Kerajaan HK mungkin tangguh rang undang-undang kontroversi - media

HONG KONG: Bandar raya ini bersiap sedia berhimpun menentang rang undang-undang ekstradisi disokong China esok ketika pemimpinnya, Carrie Lam berdepan gesaan baharu menggugurkan perundangan itu selepas pertembungan antara penunjuk perasaan dan polis.

Bloomberg memetik media tempatan sebagai melaporkan, kerajaan mungkin menangguhkan rang undang-undang kontroversi itu bagi meredakan ketegangan.

Lam dijangka membuat pengumuman hari ini untuk menangguhkan pelaksanaan rang undang-undang ekstradisi itu, lapor akhbar Sing Tao Daily tanpa memaklumkan dari mana maklumat diperoleh.

Akhbar juga melaporkan, Ketua Eksekutif Hong Kong itu membuat keputusan berkenaan selepas berbincang dengan pegawai kerajaan malam tadi.

Barisan Hak Asasi Awam, penganjur bantahan besar-besaran yang menarik ratusan ribu penduduknya ke jalanan hujung minggu lalu berkata, ia memohon kelulusan polis untuk menganjurkan acara sama.

Tindakan itu dibuat ketika sekutu Lam mula menyoal taktiknya dan pembuat dasar menangguhkan perdebatan berkaitan rang undang-undang ekstradisi kontroversi itu sehingga sekurang-kurangnya minggu depan.

Semalam, seorang penasihat atasan Lam berkata, pentadbiran itu tersilap percaturan terhadap bantahan rang undang-undang berkenaan, menjurus keraguan jika ia dapat diluluskan sebelum tempoh akhir perundangan bulan depan.

Kerajaan menimbang pilihan termasuk jeda masa berbanding menggugurkan rang undang-undang itu lapor akhbar South China Morning Post, memetik sumber tidak dikenali.

“Saya fikir agak mustahil membincangkannya apabila wujud konfrontasi. Ia agak sukar. Sekurang-kurangnya kita tidak seharusnya memburukkan lagi konfrontasi itu,” kata Penganjur Majlis Eksekutif Bernard Chan kepada radio RTHK.

Lam bertegas meneruskan perdebatan rang undang-undang berkenaan walaupun wujud bantahan sehingga menarik ratusan ribu orang ke jalanan berikutan kebimbangan, ia mengukuhkan lagi cengkaman Beijing terhadap Hong Kong.

Penganjur berkata, ketika hanya segelintir penunjuk perasaan berada berhampiran Parlimen semalam, Lam membatalkan kemunculan dalam satu persidangan teknologi dianjurkan Wall Street Journal.

“Kebimbangan setakat ini ialah semua orang tidak gembira dengan cara kerajaan menguruskan isu itu.

“Saya percaya majoriti penduduk di Hong Kong tidak bersetuju dengan alasan mengapa ia perlu disegerakan,” kata Felix Chung yang mewakili industri tekstil dan pakaian sebagai anggota pro-kemajuan Parlimen Hong Kong dalam temu bual telefon. -Agensi

Berita Harian X