Sabtu, 22 Jun 2019 | 1:07am
44 orang terbunuh selepas sebuah bas yang hilang kawalan terjunam ke dalam gaung di negeri pergunungan Himachal Pradesh di India.

44 maut bas jatuh gaung di utara India

SHIMLA: Sekurang-kurangnya 44 orang terbunuh selepas sebuah bas yang hilang kawalan terjunam ke dalam gaung di negeri pergunungan Himachal Pradesh di India, semalam.

“Sekurang-kurangnya 78 hingga 80 penumpang berada dalam bas,” kata pegawai kanan kerajaan, Akshay Sood dari daerah Kullu, tempat kemalangan itu berlaku.

Dilaporkan, 28 mangsa lain diberi rawatan susulan ramai antara mereka cedera parah selepas bas penuh sesak dengan penumpang terhumban ke dalam gaung sedalam 150 meter di Kullu, negeri utara Himalaya.

Pada mulanya, pegawai memberi jumlah mangsa yang maut sekurang-kurangnya 25 orang, tetapi kemudian berkata 19 yang lain meninggal akibat cedera parah.

Ketua Polis Daerah Kullu, Shalini Agnihotri memberitahu AFP, mangsa cedera dibawa ke hospital berdekatan dan mereka meninggal dunia semasa menerima rawatan.

Katanya, ramai mangsa adalah wanita kanak-kanak yang pulang dari sekolah.

Gambar-gambar di lokasi kejadian menunjukkan serpihan bas berwarna warni berselerakan di tebing sungai tatkala sukarelawan membuat rantai manusia untuk membantu mangsa menyeberang.

Agnihotri berkata, satu siasatan sudah dibuka untuk menyiasat punca nahas. - AFP

Berita Harian X