Isnin, 1 Julai 2019 | 4:52pm
Keadaan banjir di Mumbai akibat hujan lebat sejak semalam. - Foto Reuters
Keadaan banjir di Mumbai akibat hujan lebat sejak semalam. - Foto Reuters

Hujan lebat lumpuhkan Mumbai

MUMBAI: Hujan lebat di hab kewangan India hari ini menyebabkan gangguan kepada rangkaian kereta api, menyukarkan trafik di atas jalan raya yang dinaiki air dan melewatkan penerbangan dari lapangan terbang kedua paling sibuk di negara itu.

Mumbai, yang menempatkan dua pasaran saham terbesar India dan ibu pejabat beberapa syarikat besar, dilanda hujan lebat sejak malam semalam dan boleh berlanjutan sehingga 24 jam lagi, kata jabatan cuaca.

Kereta api di pinggir bandar lewat sehingga dua jam kerana landasan dinaiki air manakala beberapa perjalanan kereta api jarak jauh dibatalkan.

Murid sekolah terpaksa meredah banjir. - Foto AFP
Murid sekolah terpaksa meredah banjir. - Foto AFP

Beberapa penerbangan ditangguhkan sehingga sejam setengah, kata jurucakap Lapangan Terbang Antarabangsa Mumbai.

Ribuan penumpang terkandas dalam kereta api dan kenderaan ketika waktu puncak ketika cuba pergi ke pejabat masing-masing.

“Perjalanan kereta api selama 55 minit mengambil masa dua setengah jam kerana landasan dinaiki air,” kata seorang pekerja sektor swasta, Ketan Bondre.

Walaupun Mumbai cuba membangun sebagai hab kewangan global, sebahagian besar bandar raya itu masih bergelut untuk menangani musim hujan.

Pembinaan berterusan di kawasan rendah dan pesisir pantai, selain longkang dan saluran air yang tersumbat kerana sampah plastik, menjadikan bandar raya itu semakin terdedah kepada kekacauan.

Banjir pada 2005 membunuh lebih 500 penduduk di Mumbai. Majoriti kematian adalah di kawasan setinggan yang menempatkan lebih separuh penduduk bandar raya itu. — Reuters

Berita Harian X