Isnin, 1 Julai 2019 | 7:18pm
Sebanyak 150 milimeter hujan lagi dijangka diterima selatan Kyushu tengah malam ini dan esok. - Foto fail AFP

800,000 penduduk Jepun digesa berpindah susulan hujan lebat

TOKYO: Lebih 800,000 digesa berpindah susulan hujan lebat di pulau Kyushu di barat daya Jepun hari ini, menyebabkan satu kawasan menerima hujan sebanyak 351 milimeter dalam masa 24 jam.

Ia juga mencetuskan tanah runtuh dan penutupan lebuh raya.

Seorang wanita di negeri Kagoshima di selatan Kyushu, maut akibat tanah runtuh, manakala nasihat pemindahan dikeluarkan kepada 388,000 keluarga atau 831,000 penduduk di Kagoshima dan tiga negeri lain, lapor stesen penyiar NHK.

Arahan pemindahan dikeluarkan kepada 6,000 penduduk di bandar raya Ichikikushikino, Kagoshima.

Sebahagian bandar raya Satsumasendai menyaksikan 361.5 milimeter hujan dalam masa 24 jam sejak petang semalam, melebihi purata bulanan sebanyak 291.5 milimeter hujan bagi Julai, kata Agensi Kaji Cuaca Jepun.

Sebanyak 150 milimeter hujan lagi dijangka diterima selatan Kyushu tengah malam ini dan esok, kata pegawai agensi itu. - Reuters

Berita Harian X