X
Selasa, 2 Julai 2019 | 2:21pm
PENDUDUK melihat kerosakan rumah selepas ribut monsun badai Mumbai. - Foto AFP
PENDUDUK melihat kerosakan rumah selepas ribut monsun badai Mumbai. - Foto AFP

15 maut dinding runtuh, monsun badai Mumbai

MUMBAI: Sekurang-kurangnya 15 terbunuh dan 69 yang lain cedera apabila sebuah dinding runtuh ketika ribut monsun membawa hujan lebat melanda awal pagi, kata pihak berkuasa di sini, hari ini.

Jurucakap pengurusan bencana Mumbai, Tanaji Kamble berkata, dinding bangunan di kawasan setinggan itu runtuh kira-kira jam 2.00 pagi (waktu tempatan).

Tragedi itu berlaku ketika penempatan pesisir menempatkan 20 juta penduduk itu dilanda hujan lebat selama dua hari berturut-turut, melumpuhkan aktiviti di bandar itu.

Kejadian itu memaksa pihak berkuasa tempatan mengisytiharkan hari ini sebagai cuti umum dan menasihatkan semua penduduk tinggal di rumah masing-masing. Sekolah dan kolej ditutup, manakala semua penerbangan dilencongkan daripada lapangan terbang utama Mumbai.

Seluruh kawasan Mumbai menerima kira-kira 100 milimeter hujan sepanjang malam hingga awal pagi ini, menyebabkan kawasan rendah ditenggelami air.

Sementara itu, perkhidmatan rangkaian kereta api Mumbai yang menjadi nadi pengangkutan penduduk bandar raya itu terpaksa dihadkan, disebabkan landasan ditenggelami air. Pemilik kenderaan juga kelihatan menolak kenderaan masing-masing meredah banjir.

“Operasi menyelamat sedang dilakukan dan lebih banyak laporan maklumat ditunggu, sementara pasukan bomba dan polis tempatan berusaha berada di tempat kejadian dan mengawal situasi,” kata pegawai Pasukan Bantuan Bencana Kebangsaan kepada agensi berita India, ‘Press Trust of India’.

Menurut beberapa hasil kajian, hampir 40 hingga 50 peratus penduduk di bandar raya itu tinggal di kawasan setinggan yang bertukar menjadi lautan kanvas biru setiap kali musim tengkujuh melanda, apabila penduduk cuba berlindung daripada hujan lebat. - AFP

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X