Selasa, 2 Julai 2019 | 3:53pm
KEADAAN tembok yang runtuh di lereng bukit di Malad. - Foto AFP
KEADAAN tembok yang runtuh di lereng bukit di Malad. - Foto AFP

Tembok runtuh ragut 27 nyawa di India

MUMBAI: Hujan lebat menyebabkan tembok runtuh yang membawa kepada 27 kematian di India hari ini, ketika hari kedua cuaca buruk mengganggu perkhidmatan kereta api dan trafik udara di Mumbai.

Ia juga memaksa pegawai menutup sekolah dan pejabat walaupun pasaran saham terus dibuka.

Pada setiap musim hujan dari Jun hingga September, India berhadapan kemalangan maut membabitkan dinding dan tembok runtuh apabila hujan melemahkan asas struktur yang tidak dibina dengan baik itu.

Hujan lebat menyebabkan tembok runtuh menimpa kawasan setinggan yang dibina di lereng bukit di Malad, di pinggir barat Mumbai, kata pegawai bomba, meragut 18 maut.

“Kerja menyelamat masih diteruskan.

“Setakat ini, kami menyelamatkan lebih 24 mangsa,” kata pegawai berkenaan.

Tiga lagi terbunuh apabila dinding sebuah sekolah runtuh di bandar Kalyan, 42 kilometer ke utara Mumbai.

Di bandar raya Pune pula, enam maut dalam kejadian tembok runtuh hari ini, kata pegawai bomba, selepas kemalangan sama Sabtu lalu mengorbankan 15 orang. — Reuters

Berita Harian X