Rabu, 3 Julai 2019 | 6:53pm
Air di Sungai Kuma di Yatsushiro, wilayah Kumamoto, naik berikutan hujan lebat dan tanah runtuh di beberapa kawasan di Kyushu, barat daya Jepun. - Foto EPA

Hujan lebat di Jepun, lebih sejuta diarah berpindah

TOKYO: Jepun mengarahkan lebih sejuta penduduk di pulau Kyushu mendapatkan perlindungan di pusat pemindahan dan kawasan selamat lain hari ini ketika hujan lebat mengancam menyebabkan lebih banyak kejadian tanah runtuh.

Beberapa bahagian di selatan Kyushu menerima sehingga 1,000 milimeter hujan sejak Jumaat lalu, menyamai taburan hujan selama sepanjang Julai, lapor stesen penyiar NHK.

Pakar kaji cuaca menjangka beberapa kawasan akan menerima 300 milimeter hujan lagi petang esok.

Arahan pemindahan dikeluarkan kepada 1.02 juta penduduk Kagoshima dan Miyazaki di selatan Kyushu, menurut NHK.

Lebih 930,000 dinasihatkan berpindah, tetapi tiada data menunjukkan sudah berapa ramai berbuat demikian.

“Saya tinggal bersendirian bersebelahan sungai dan takut memikirkan pertambahan paras air,” kata seorang wanita di pusat pemindahan kepada NHK.

Rakaman televisyen menunjukkan sungai dipenuhi air berwarna coklat yang mengalir laju, tetapi tidak melepasi tebing petang ini, walaupun satu tambak pecah.

Beberapa kejadian tanah runtuh kecil dilaporkan, termasuk satu yang menghanyutkan dua kereta. Tiada kecederaan dilaporkan setakat ini.

Di Tokyo, Perdana Menteri Shinzo Abe, menasihatkan penduduk supaya mengambil langkah melindungi nyawa, termasuk berpindah awal. — Reuters

Berita Harian X