Khamis, 4 Julai 2019 | 6:20pm
Tentera Pertahanan Diri Jepun dan anggota bomba mencari penduduk yang hilang akibat tanah runtuh dicetuskan hujan lebat di pekan Soo, daerah Kagoshima, hari ini. -Foto AFP

2 maut akibat hujan lebat di selatan Jepun

TOKYO: Hujan lebat di selatan Jepun hari ini mengorbankan seorang wanita serta menyebabkan banjir dan tanah runtuh, kata pihak berkuasa ketika mereka mula menarik balik arahan pemindahan kepada lebih sejuta penduduk.

Kematian wanita itu, disahkan selepas mangsa dilaporkan hilang awal hari ini bermaksud dua orang maut akibat hujan lebat yang bermula hujung minggu lalu serta menenggelamkan sebahagian selatan Jepun.

Ketika hujan bergerak ke arah utara, pihak berkuasa mula menarik balik arahan pemindahan namun hampir 800,000 orang di Kagoshima masih terjejas.

Namun demikian, hanya 2,300 orang ditempatkan di pusat perlindungan dalam rantau Kagoshima tengah hari ini, angka rasmi menunjukkan.

Hujan lebat luar biasa itu, setahun selepas insiden sama di barat Jepun mengorbankan lebih 200 orang dalam banjir dan tanah runtuh.

Kira-kira 793,000 penduduk Kagoshima kekal dengan arahan berpindah tengah hari ini dengan lebih ramai berdepan nasihat pemindahan tahap rendah.

Arahan dikeluarkan apabila bencana alam berkemungkinan tinggi berlaku dan kawasan perbandaran itu berulang kali menggesa penduduk berpindah walaupun ia sering diabaikan. -AFP

Berita Harian X