Selasa, 9 Julai 2019 | 12:28am
AMIR Hatami
AMIR Hatami

Iran janji bertindak balas rampasan kapal tangki minyak

TEHRAN: Menteri Pertahanan Iran berikrar akan bertindak balas kepada tindakan Britain menahan kapal tangki minyak negara itu di luar pantai Gibraltar.

“Kami tidak akan bertolak ansur dan ia tidak akan berlalu begitu sahaja tanpa sebarang tindak balas.

“Tindakan itu melanggar peraturan antarabangsa dan sejenis lanun maritim,” kata Amir Hatami, yang dipetik agensi berita ISNA dan Tasnim.

Grace 1 sepanjang 330 meter, yang mampu membawa dua juta tong minyak, ditahan Khamis lalu oleh agensi polis dan kastam di Gibraltar, wilayah luar negara Britain di selatan Sepanyol.

Pihak berkuasa di Gibraltar berkata, mereka mengesyaki kapal itu membawa minyak mentah ke Syria yang melanggar sekatan Kesatuan Eropah.

Tehran menafikan perkara itu dan mendakwa kapal itu dipintas dalam perairan antarabangsa.

Penahanan kapal tangki itu menetapkan kejadian tidak pernah terjadi bahaya dan perlu dihentikan sekarang, kata Menteri Luar Iran, Mohammad Javad Zarif.

Beliau mempersoalkan kesahihan rampasan itu, berkata Iran bukan anggota EU dan tidak menjadi subjek kepada sebarang sekatan minyak Eropah.

“Rampasan kapal tangki minyak Iran yang dibuat secara tidak sah oleh United Kingdom bagi pihak #B_Team adalah tindakan lanun,” kata Zarif.

Beliau kerap menggunakan ‘B Team’ untuk merujuk kepada Penasihat Keselamatan Negara AS, John Bolton; Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan Putera Mahkota Arab Saudi dan Abu Dhabi, Mohammed bin Salman dan Mohammed bin Zayed, yang menekan Tehran. — AFP

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X