Khamis, 11 Julai 2019 | 1:57pm
Gambar menunjukkan imej Hayabusa2 dari bilik kawalan misi JAXA. -Foto AFP

Hayabusa2 mendarat kali kedua di atas asteroid

TOKYO: Kapal angkasa lepas Jepun, Hayabusa2 selamat mendarat di atas sebuah asteroid hari ini untuk pendaratan kali kedua dan terakhir, berharap mengutip sampel yang mungkin menjelaskan evolusi sistem suria.

“Pendaratan berjaya,” kata jurucakap Agensi Penerokaan Angkasa Lepas Jepun (JAXA), Takayuki Tomobe kepada AFP.

Kejayaan pendaratan itu disambut sorakan dan tepukan dalam bilik misi kawalan JAXA dengan pegawai tersenyum lebar dan berjabat tangan.

Terdahulu, pihak berkuasa JAXA berkata, kapal angkasa itu mendarat dengan selamat, namun pengesahan hanya dapat dilakukan selepas Hayabusa2 meneruskan komunikasi dengan bilik kawalan.

“Kami semua lega melihat kapal angkasa terus menghantar data daripada antena, yang dapat menghantar jumlah besar data kepada kami.

“Ia bermaksud kapal angkasa tidak dapat keadaan serius,” kata Tomobe.

Pendaratan seketika hari ini adalah kali kedua dilakukan Hayabusa2 di atas asteroid Ryugu, sejauh 300 juta kilometer dari bumi.

Misi rumit beberapa tahun itu juga membabitkan penghantaran kenderaan perayau dan robot ke permukaannya.

Pendaratan hari ini bertujuan mengutip bahan asli dari bawah permukaan asteroid yang dapat memberi penjelasan bagaimana kelahiran sistem suria, kira-kira 4.6 bilion tahun lalu.

Untuk mendapatkan bahan penting itu, pada April lalu, satu ‘pemampat’ dilepaskan dari Hayabusa2 ke arah Ryugu dalam proses berisiko yang mewujudkan kawah pada permukaan asteroid dan mencampurkan bahan yang sebelum ini tidak didedahkan kepada atmosfera. -AFP

Berita Harian X