Ahad, 14 Julai 2019 | 8:05pm
Penunjuk perasaan mengadakan perhimpunan demonstrasi terhadap rang undang-undang ekstradisi di daerah Sha Tin di Hong Kong. - Foto AFP

Polis, penunjuk perasaan Hong Kong bertempur lagi

HONG KONG: Polis dan penunjuk perasaan bertempur lagi di sini, hari ini ketika ketegangan terus berlaku susulan rancangan membenarkan ekstradisi ke tanah besar China dan ia tidak menunjukkan tanda akan reda.

Polis menggunakan penyembur lada dan belantan terhadap sekumpulan kecil penunjuk perasaan yang memenuhi jalan raya, pada tunjuk perasaan berlangsung di Sha Tin, yang terletak antara kawasan bandar utama sekitar pelabuhan dan sempadan China.

Ia menyebabkan penunjuk perasaan bertopeng bertindak balas dengan mendirikan sekatan daripada pagar besi, seterusnya mencetuskan ketegangan dengan polis pencegah rusuhan.

Antara penunjuk perasaan yang membuat demonstrasi terhadap rang undang-undang ekstradisi di daerah Sha Tin di Hong Kong. - Foto AFP

Sejak sebulan lalu, Hong Kong digegarkan dengan pelbagai bantahan secara aman besar-besaran, selain siri keganasan berasingan terhadap anggota polis, yang dicetuskan oleh rang undang-undang yang membenarkan ekstradisi ke tanah besar China dan negara lain.

Bulan lalu, Parlimen mengalami kerosakan selepas ratusan penunjuk perasaan bertopeng diketuai belia menyerbu masuk bangunan itu.

Walaupun rang undang-undang itu ditangguhkan sebelum dibatalkan, ia tidak mencukupi untuk membendung kemarahan orang ramai.

Ia kemudiannya bertukar menjadi pergerakan lebih besar bagi menggesa pembaharuan demokratik, hak mengundi dan penggantungan kebebasan di hab separuh autonomi itu. — AFP

Berita Harian X