Ahad, 21 Julai 2019 | 6:27pm
ANGGOTA keselamatan menyiasat lokasi serangan pengebom nekad di kampung Kotlan Saidan. - Foto AFP

8 maut diserang pengebom nekad wanita Pakistan

PESHAWAR: Seorang pengebom nekad wanita membunuh lapan orang termasuk dua anggota polis di kawasan pedalaman barat laut Pakistan hari ini, dalam serangan didakwa dilakukan Taliban.

Menurut pihak berkuasa, serangan terbabit berlaku di pintu masuk sebuah hospital di kampung Kotlan Saidan di pinggir bandar Dera Ismail Khan, barat laut negara itu yang turut mencederakan 26 lain.

Ketua polis daerah, Salim Riaz memaklumkan, pengebom nekad itu menyerang ketika polis sedang membantu memindahkan jasad dua anggotanya yang maut, dalam insiden tembakan tepi jalan di luar bandar itu.

“Pengebom wanita berusia kira-kira 28 tahun, datang berjalan kaki dan kemudian meletupkan diri sendiri sehingga mengorbankan dua anggota polis dan empat penduduk awam serta mencederakan 26 mangsa lain,” katanya.

Seorang lagi pegawai polis tempatan, Malik Habib mengesahkan serangan dan jumlah korban insiden itu dan berkata, beberapa anggota kemudian menemui kepada pengebom yang terputus.

Jurucakap Tehreek-e-Taliban Pakistan atau Taliban Pakistan, Muhammad Khurasani mendakwa bertanggungjawab terhadap serangan itu dalam kenyataan kepada media. - AFP

Berita Harian X